'Bunga-bunga' perang? Dron tentera China dikesan terbang mengelilingi Taiwan

Agensi
April 28, 2023 18:53 MYT
Pemerintah Taiwan menolak 'seruan' kedaulatan China dan menegaskan hanya rakyat pulau itu boleh menentukan masa depan mereka. - Gambar fail
TAIPEI: Sebuah dron tentera China jenis baharu yang dikatakan boleh membawa senjata berat dikesan terbang mengelilingi ruang udara Taiwan.
Reuters melaporkan, perkara itu disahkan Kementerian Pertahanan Taiwan, sekali gus mencetus ketegangan militari antara China dengan pulau wilayah pentadbiran khas berkenaan.
China, yang mentadbir Taiwan sebagai jajahannya, telah meningkatkan tekanan ketenteraan ke atas pulau itu dalam tempoh tiga tahun ini, sebagai cara menekan Taipei supaya tunduk kepada kedaulatan Beijing.
Bulan ini, China melaksanakan ‘permainan perang’ ke atas Taiwan selepas Presiden Taiwan Tsai Ing-wen mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Kevin McCarthy di Los Angeles.
Kementerian Pertahanan Taiwan, dalam kemas kini aktiviti tentera China sejak 24 jam lalu, berkata sejumlah 19 pesawat ketenteraan telah mendekati zon identifikasi pertahanan udaranya (ADIZ).
Zon berkenaan adalah ruang pemantauan Taiwan yang membolehkan wilayah itu bertindak segera jika terbukti berdepan ancaman nyata.
Salah satunya adalah pesawat dron TB-001, yang pada awalnya dikesan terbang mengelilingi Taiwan dengan melintas Selat Bashi yang memisahkan Taiwan dengan Filipina. Ia kemudian terbang ke timur Taiwan sebelum merentas semula ke garis pantai China.
TB-001 dikenal pasti boleh membawa peluru berpandu di bawah sayapnya, dengan kemampuan altitud tinggi dan misi jarak jauh.
Sebelum ini, China pernah menerbangkan pesawat pengebom H-6 mengelilingi Taiwan. Bagaimanapun, tiada sebarang tembakan dilepaskan dan pesawat milik China belum lagi bertindak merentasi ruang udara Taiwan.
Pesawat tentera China sejak tahun lalu sering melintas garis median Selat Taiwan, yang lazimnya berperanan sebagai sempadan tidak rasmi antara dua bahagian itu, meskipun China mendakwa tiada kaitan dengannya.
Pemerintah Taiwan menolak 'seruan' kedaulatan China dan menegaskan hanya rakyat pulau itu boleh menentukan masa depan mereka.
#China #dron #pesawat tentera #ruang udara #Taiwan #perang
;