Bumi alami tempoh tiga bulan paling panas dalam rekod - Agensi PBB

Bernama
September 6, 2023 05:15 MYT
Ogos juga menyaksikan purata suhu permukaan laut bulanan tertinggi di dunia pada rekod 20.98 darjah Celsius. - Gambar hiasan
GENEVA: Tiga bulan lepas mencatat suhu paling panas pernah direkodkan di Bumi, menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia PBB, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Agensi PBB itu, memetik data daripada Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus EU, seterusnya mendedahkan bahawa Ogos antara bulan paling panas "dengan margin yang besar" dan bulan kedua terpanas selepas Julai 2023.
Ogos dianggarkan sekitar 1.5 darjah Celsius lebih panas daripada purata pra-industri.
Ogos juga menyaksikan purata suhu permukaan laut bulanan tertinggi di dunia pada rekod 20.98 darjah Celsius.
"Planet kita baru sahaja mengalami musim panas paling panas dalam rekod. 'Climate breakdown' telah bermula," kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam satu kenyataan.
--BERNAMA-dpa
#PBB #cuaca panas #tiga bulan paling panas #suhu permukaan laut
;