Bumbung gimnasium sekolah runtuh, 11 maut

Astro Awani
Julai 24, 2023 16:23 MYT
Pasukan penyelamat mencari mangsa di bawah runtuhan bumbung gimnasium di sebuah sekolah di daerah Longsha, Qiqihar. -Reuters
BEIJING: Sebelas orang terbunuh apabila bumbung gimnasium sebuah sekolah di China runtuh semasa sesi latihan bola tampar perempuan.
Insiden berlaku pada Ahad di No 34 Middle School di daerah Longsha di Qiqihar, yang terletak di timur laut di wilayah Heilongjiang, pada jam 2.56 petang pada Ahad.
Dilaporkan seramai 19 orang berada di gim ketika kejadian, namun hanya lapan yang terselamat.
Laporan bagaimanapun tidak menyebut sama ada mangsa juga terdiri daripada kalangan dewasa.
Agensi berita rasmi Xinhua berkata kerja pembinaan di sekolah itu berkemungkinan menjadi punca.
Ia susulan tindakan pekerja meletakkan perlit, sejenis penyerap, di atas bumbung gimnasium semasa mereka membina struktur lain berdekatan.
Hujan lebat pada hujung minggu dipercayai telah menyebabkan bahan perlit itu menyerap air sehingga
struktur bumbung tidak dapat lagi menampung berat dan menyebabkan ia runtuh.
Tragedi pembinaan dan industri adalah kejadian biasa di China, sebahagian besarnya berpunca daripada syarikat yang mengabaikan piawaian keselamatan selain rasuah.
#Bumbung gim sekolah runtuh #Longsha di Qiqihar #Heilongjiang #bahan perlit
;