Bulgaria sekali lagi gagal bentuk kerajaan di tengah-tengah kekacauan politik

Bernama
Julai 22, 2024 22:15 MYT
Kabinet sementara sedang menguruskan hal ehwal kerajaan sehingga pentadbiran baharu dibentuk. - Foto REUTERS
SOFIA: Ahli politik Bulgaria sekali lagi gagal membentuk kerajaan selepas pilihan raya parlimen pada Jun, dengan negara itu berdepan satu lagi undian jika percubaan ketiga tidak berjaya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pakatan tengah We Continue the Change - Democratic Bulgaria (PP-DB) tidak dapat memperoleh majoriti dalam Dewan Rakyat unikameral negara itu.
Bekas perdana menteri dan anggota We Continue the Change, Nikolai Denkov, berkata bahawa tiada majoriti yang stabil dapat dibentuk dalam Parlimen semasa, yang dipilih pada Jun.
Pemenang pilihan raya, gabungan GERB-SDS yang berhaluan kanan tengah, juga gagal menarik sokongan yang mencukupi untuk memilih calon mereka Rosen Zhelyazkov sebagai perdana menteri.
Kedua-dua pakatan itu telah mentadbir dalam satu pakatan tidak rasmi sejak 2023, tetapi menggesa pilihan raya baharu selepas gagal mencapai persetujuan mengenai perdana menteri baharu pada Mac.
Bulgaria telah mengadakan enam pilihan raya parlimen sejak April 2021.
Presiden Rumen Radev kini mempunyai tujuh hari untuk mengeluarkan mandat ketiga dan terakhir untuk membentuk kerajaan.
Jika ini juga gagal, satu lagi undian perlu diadakan, kemungkinan besar pada musim luruh.
Kabinet sementara sedang menguruskan hal ehwal kerajaan sehingga pentadbiran baharu dibentuk.
-- BERNAMA
#bentuk kerajaan #Pilihan Raya Parlimen #Dewan Rakyat #We Continue the Change