Bulan Sabit Merah Palestin kutuk serangan berhampiran Hospital Al-Amal

Bernama
Disember 29, 2023 14:38 MYT
PRCS mengutuk pengeboman Israel berhampiran Hospital Al-Amal di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza pada Khamis. -Gambar fail
GAZA: Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) mengutuk pengeboman Israel berhampiran Hospital Al-Amal di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza pada Khamis.
Insiden terbabit menyebabkan 10 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 21 lagi cedera.
Sebelum ini, tentera Israel mengebom hadapan hospital berkenaan hingga menyebabkan 31 orang maut dan 25 lagi cedera.
"Hospital itu kini menampung kira-kira 14,000 orang yang hilang tempat tinggal," lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin memetik kenyataan PRCS.
PRCS menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan kakitangannya yang bekerja di hospital dan ibu pejabat terutama selepas kejadian pada Khamis yang merupakan insiden kelima membabitkan hospital dan kawasan sekitar dalam tempoh kurang dari seminggu.
Sebelum ini, rejim Israel menyerang tingkat atas ibu pejabat persatuan itu menggunakan artileri, menyebabkan beberapa orang cedera dan merosakkan antena VHF yang menjadi satu-satunya kaedah komunikasi di tengah-tengah gangguan perkhidmatan telekomunikasi.
Ia menimbulkan cabaran besar bagi ambulans dan pasukan kecemasan untuk sampai ke lokasi mereka yang cedera dan sakit.
"Pendudukan yang semakin diperhebat dengan menyasarkan kawasan sekitar Hospital Al-Amal pada hari-hari sebelumnya boleh dianggap sebagai permulaan untuk menyerangnya secara langsung dan kami bimbang kejadian yang berlaku kepada Hospital Al-Quds akan berulang," menurut PRCS.
PRCS merayu kepada masyarakat antarabangsa dan rakan kongsinya bagi campur tangan segera demi melindungi Hospital Al-Amal dan kakitangan perubatan, pesakit yang cedera dan sakit termasuk kira-kira 14,000 orang yang hilang tempat tinggal.
Ia harus dilakukan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva Keempat.
-- BERNAMA
#Gaza #Palestin #Hospital Al-Amal #PRCS
;