Bulan Kebangsaan MY-SG: Mengurus pembangunan tanah secara hemat dan mampan
Irfan Faruqi
Ogos 9, 2024 14:45 MYT
Ogos 9, 2024 14:45 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam dunia yang bergerak pantas, negara-negara perlu membuat keputusan untuk membangunkan infrastuktur tertentu bagi memenuhi keperluan semasa.
Ringkasan AI
- Singapura menghadapi cabaran besar dalam pembangunan infrastruktur kerana ruang tanah yang sangat terhad, memaksa mereka menggunakan tanah dan bangunan secara lebih efisien dan berinovasi.
- Singapura menekankan penggunaan semula tanah dan bangunan untuk memenuhi keperluan semasa, serta merancang pembangunan infrastruktur berkualiti tinggi yang berfokus kepada kemampanan dan manfaat jangka panjang.
- Singapura dan Malaysia disarankan untuk bekerjasama dalam pembangunan ekonomi, termasuk projek seperti Zon Ekonomi Khas Singapura-Malaysia, untuk memperkuat kehadiran di pasaran global.
Sama ada keperluan populasi dalam bentuk rumah mampu milik, sekolah, dan hospital, atau keperluan industri dalam bentuk kilang pintar, pusat data dan pelabuhan, atau keperluan lain untuk memastikan ekonomi terus berkembang dalam bentuk stadium, lebuh raya dan tarikan pelancongan.
Namun, persoalan ini tidak mudah untuk dirungkaikan bagi sebuah negara yang 450 kali lebih kecil berbanding Malaysia.
Dengan keluasan tanah sekitar 735 km per segi sahaja, Singapura perlu memuatkan rumah untuk didiami, kilang dan pejabat untuk menjana ekonomi, lebuh raya dan pelabuhan untuk pengangkutan, dan pelbagai fasiliti lain untuk memastikan tenaga dapat dijana dan air dapat terus disalurkan bagi kelangsungan hidup negara bandar itu.
Penulis berkesempatan menemu bual Menteri-menteri Kabinet Singapura untuk mendalami isu ini melalui program Malaysian Journalist Visit Programme (MJVP) 2024 anjuran Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada akhir Julai lalu.
Laporan Khas Bulan Kebangsaan: Setiap kaki tanah sangat berharga
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Kewangan & Menteri Kedua Pembangunan Negara, Indranee Rajah menyifatkan Malaysia sangat bertuah kerana dianugerahkan tanah dan kehijauan yang luas.
“Berbanding kami, setiap kehijauan perlu dilindungi sebaiknya. Maka kami perlu laksanakan pembinaan baharu di atas pembinaan sedia ada. Bermaksud, ketika ini anda tidak saksikan pembangunan atas tanah hijau, sebaliknya pembangunan atas tanah merah,” katanya.
Menteri Negara Kanan, Kementerian Ehwal Luar & Kementerian Pembangunan Negara, Sim Ann pula berkata Singapura mengakui sumber tanah yang terhad dan projek tambak tanah juga bukan solusi yang mampan.
“Kami telah laksanakan penambakan tanah tetapi tetapi ada had yang boleh dilakukan dan kosnya sangat mahal. Untuk tujuan kemampanan, kami perlu ada keupayaan untuk mengekalkan ketangkasan dalam perancangan bandar, dan wujudkan mekanisme yang membolehkan tanah dan bangunan diguna semula untuk pengguna baharu,” tambahnya.
Untuk menangani cabaran ruangan tanah yang terhad ini, pembangunan di Singapura bukan semata-mata memberi tumpuan kepada perancangan bandar yang lebih teliti untuk jangka masa panjang.
Bagi Singapura, tanah yang ada bukan hanya untuk digunakan sekali sahaja dan bangunan yang siap dibina tidak muktamad kegunaannya.
Satu ruangan tanah dan sesebuah bangunan mesti boleh dibangunkan semula untuk tujuan yang berbeza mengikut keperluan semasa.
“Greater Southern Waterfront ialah contoh yang baik. Di situ terletaknya pelabuhan di bahagian bawah Singapura sehingga ke barat. Sebahagian kawasan pelabuhan itu telah dikosongkan.
“Kami sedang bina pelabuhan baharu iaitu Pelabuhan Tuas di barat. Sebahagian daripada pelabuhan sedia ada sudah dipindahkan dan kami dalam proses memindahkan selebihnya. Maka projek ini telah mengosongkan seluruh kawasan dermaga di bahagian selatan, yang merupakan jalan utama dari kawasan selatan ke arah barat.
“Persoalannya sekarang ialah apa perlu dilakukan dengan tanah tersebut, memandangkan ini merupakan hartanah yang sangat mahal? Kami mahu gabungan beberapa perkara - perumahan awam, perumahan persendirian dan pembangunan campuran meliputi aspek komersial, gaya hidup, aktiviti air dan kehijauan, memandangkan rakyat Singapura sangat idamkannya,” jelas Indranee.
BACA JUGA: LAPORAN KHAS Bulan Kebangsaan MY-SG: Mengurus bakat dalam senario populasi menua, menurun
Laporan Khas Bulan Kebangsaan: Mengurus bakat dalam senario populasi menua, menurun
Untuk itu, menurutnya, reka bentuk yang lebih inovatif dan perubahan kepada prosedur penggunaan juga adalah penting untuk memastikan peralihan kearah fasiliti dwiguna ini boleh dilaksanakan dengan berkesan.
“Contohnya, kami sedang usahakan amalan dwiguna fasiliti sukan sekolah. Kami ada fasiliti dan ruang sukan seperti dewan di sekolah-sekolah. Biasanya, ruangan ini ditutup kepada orang awam semasa waktu persekolahan, luar waktu persekolahan dan hujung minggu.
“Jika difikirkan sayang sekali kerana komuniti sepatutnya boleh gunakan fasiliti yang sama atau ruangan yang sama perlu dikosongkan untuk tujuan kegunaan lain yang lebih penting,” ujarnya.
Selain aspek, kitar semula tanah, Singapura juga mengamalkan konsep guna tanah bagi infrastruktur atau fasiliti terbaik.
Dalam hal ini, Menteri Negara Kanan, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital & Kementerian Kesihatan, Dr Janil Puthucheary berkata ditengah-tengah perlumbaan membina pusat-pusat data di Asia Tenggara, Singapura hanya berminat untuk membangunkan pusat data tahap paling tinggi.
“Tanah, tenaga dan air adalah terhad. Tetapi industri masih tertarik untuk meletakkan pusat data mereka di Singapura. Kita boleh lihat dari aspek jumlah keseluruhan pusat data yang ada. (Atau) Anda boleh lihat dari sudut kualiti pusat data yang ada dan pusat data kami kebiasaannya berkualiti tinggi, kualiti pada tahap atas,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pendekatan Singapura dalam memastikan setiap inci tanah republik itu boleh dibangunkan mengikut keperluan semasa untuk manfaat lebih ramai orang bagi jangka masa yang panjang, Pakar Ekonomi Singapore University of Social Sciences, Prof Madya Walter Edgar Theseira berkata amalan pewartaan tanah sebagai hak milik kekal tidak wujud di Singapura.
“Hari ini di Singapura sangat sukar untuk beli tanah yang boleh dimiliki untuk selama-lamanya. Keperluan awam perlu sentiasa diberi keutamaan.
“Hakikatnya, tanah milik kekal yang ada hanyalah tanah yang diberikan oleh kerajaan penjajah yang melibatkan beberapa tanah di sekitar kawasan bandar. Tetapi selain daripada itu, tiada lagi tanah berstatus pemilikan kekal.
“Ini bagi memastikan semua tanah boleh diguna semula dengan sebaiknya. Kerajaan juga boleh mengawal tempoh masa penggunaan sesuatu tanah agar ia boleh dibangunkan semula pada masa akan datang,” katanya.
Memandang jauh ke hadapan, soal pembangunan perlu diamati bukan sekadar dari aspek ketinggian dan kecanggihan bangunan, bahkan aspek kemampanan yang memangkin pembangunan untuk kemakmuran bersama.
Bagi tujuan itu, Indranee menyatakan pembangunan grid tenaga serantau untuk menghasilkan dan berkongsi tenaga bersih merupakan jalan ke hadapan bagi ASEAN.
“Apakah ada perkara yang boleh kami lakukan bersama Malaysia? Satu perkara yang jelas ialah grid tenaga hidro dari Laos yang disalurkan ke Thailand. Kemudian dibawa turun melalui Malaysia ke Singapura. Ini grid tenaga serantau.
“Kami berharap ini menjadi projek percubaan yang baik kerana lebih banyak grid tenaga serantau, maka negara-negara boleh jana tenaga bersih untuk dikongsikan, yang pastinya akan dibayar,” katanya.
Seterusnya, Sim pula optimis Malaysia boleh mengemudi kearah cita-cita pembangunan demi kemakmuran bersama sebagai Pengerusi ASEAN kelak.
“Kami doakan Malaysia berjaya sebagai Pengerusi ASEAN dan saya percaya rakan-rakan dari Malaysia sudah ada perancangan tertentu. Secara umum trend kearah integrasi ekonomi lebih besar dalam kalangan negara-negara ASEAN merupakan sesuatu yang diusahakan secara bersama.
“Bukan suatu perkara yang mudah, memandangkan negara anggota ASEAN itu rencam dari segi saiz dan ragam sosial. Tetapi saya fikir, memandangkan kita kekal bersama dalam keadaan stabil menunjukkan dedikasi dan kesabaran kita, juga kehendak bersama untuk lakukan sesuatu secara bersama antara semua negara (ASEAN),” ujarnya.
Khusus mengenai hubungan Malaysia-Singapura, Theseira berkata kedua-dua negara perlu membangun seiringan dan tidak melihat aspek kemajuan sebagai persaingan semata-mata.
“Oleh itu, kita tidak mahu fikir dalam kerangka (persaingan) Singapura atau Malaysia lebih baik. Sebaliknya kita perlu bekerjasama untuk bersaing dalam pasaran global.
"Sebab itu, antara perkembangan yang sangat menghairahkan adalah mengenai pembangunan Zon Ekonomi Khas Singapura-Malaysia di Johor (JS-SEZ), yang diberikan keutamaan oleh kedua-dua kerajaan.
"Keutamaan ini diberika untuk memastikan gandingan ini menjadikan kita lebih kuat di pasaran antarabangsa berbanding bergerak sendirian,” katanya.
Menjelang usia seabad sebagai dua negara berdaulat, yang berkongsi pelbagai persamaan, dan berdepan dengan pelbagai cabaran masa depan yang hampir sama, banyak yang perlu kita pelajari antara satu sama lain demi kemakmuran bersama.
Selamat Hari Kebangsaan Singapura. Selamat Hari Kebangsaan dan dirgahayu Malaysia.