Bulan Julai paling panas dalam rekod - Balai cerap iklim EU
Irdina Ishak
Ogos 8, 2023 17:16 MYT
Ogos 8, 2023 17:16 MYT
BULAN Julai dicatat sebagai sebagai bulan terpanas yang pernah direkodkan di bumi, kumpulan pemerhati iklim Kesatuan Eropah (EU) mengesahkan pada Selasa.
Susulan situasi gelombang haba dan kebakaran di seluruh dunia, badan itu berkata, suhu bulan Julai adalah 0.33 darjah Celsius lebih tinggi daripada rekod yang tercatat pada Julai 2019, apabila suhu purata adalah 16.63 Celsius.
Memetik laporan AFP, kumpulan itu berkata suhu bulan lepas adalah 0.72 darjah Celsius lebih panas daripada purata yang dicatat 1991-2020 untuk bulan Julai.
Suhu dunia telah meningkat 1.2 darjah Celsius akibat pemanasan global sejak akhir 1800-an, didorong oleh pembakaran bahan api fosil, telah menjadikan gelombang haba lebih panas, lebih lama dan lebih kerap, serta meningkatkan fenomena cuaca ekstrem lain seperti ribut dan banjir.
“Gelombang haba dialami di pelbagai kawasan di Hemisfera Utara, termasuk Eropah selatan. Situasi suhu yang jauh melebihi kebiasaan berlaku di beberapa negara Amerika Selatan dan sekitar sebahagian besar Antartika.
“Purata global untuk 2023 adalah ketiga tertinggi dalam rekod, pada 0.43 Celsius berbanding dengan 1991-2020, 0.49 Celsius untuk 2016 dan 0.48 Celsius untuk 2020. Jurang antara 2023 dan 2016 dijangka mengecil dalam bulan-bulan akan datang, kerana bulan-bulan akhir tahun 2016 agak sejuk … sementara baki tahun 2023 dijangka agak panas kerana peristiwa El Nino berkembang, menurut kenyataan dari pusat pemerhati iklim EU, Copernicus.
Sebelum ini media melaporkan para saintis telah memberi amaran bahawa Julai boleh mencapai rekod baharu.
Lautan global juga mencatat rekod suhu baharu, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kesan rantaian terhadap iklim dunia, hidupan marin dan komuniti pantai.
Suhu permukaan lautan meningkat menjadi 20.96 darjah Celsius pada 30 Julai, sedikit tinggi berbanding 20.95 darjah Celsius yang dicatat pada Mac 2016, menurut data pusat pemerhati iklim itu lagi.