Buku teks digital AI bakal diperkenal di sekolah di Korea Selatan mulai 2025

Bernama
Jun 9, 2023 08:00 MYT
Buku teks digital dipacu kecerdasan buatan (AI) bakal diperkenalkan di sekolah rendah dan menengah awam di Korea Selatan bermula tahun 2025. - Gambar hiasan
SEOUL: Buku teks digital dipacu kecerdasan buatan (AI) bakal diperkenalkan di sekolah rendah dan menengah awam di Korea Selatan bermula tahun 2025, sebagai respons kepada peningkatan keperluan untuk pelbagai kandungan pembelajaran.
Menurut Kementerian Pendidikan Korea Selatan, buku teks digital AI itu merupakan sebahagian usaha inovasi pendidikan digital oleh kerajaan bagi menawarkan kandungan pembelajaran yang pelbagai melalui perkembangan metasemesta dan teknologi AI interaktif.
Penggunaan buku teks digital itu juga dijangka memungkinkan pembelajaran yang disesuaikan untuk setiap pelajar individu pada tahap pembelajaran yang berbeza, lapor Yonhap.
Murid tahun tiga dan empat di sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu di sekolah menengah akan menjadi penerima pertama manfaat buku teks digital itu.
Untuk fasa permulaan, buku teks digital berkenaan disediakan bagi mata pelajaran matematik, bahasa Inggeris dan informatik, mulai tahun 2025.
Pada tahun 2026 pula, buku teks digital akan diperluaskan kepada murid tahun lima dan enam sekolah rendah dan pelajar tahun dua sekolah menengah, dengan menambah empat mata pelajaran - bahasa Korea, sosial, sains dan teknologi dan ekonomi rumah tangga.
Pelajar tahun tiga sekolah menengah akan ditawarkan buku teks digital pada tahun berikutnya.
Buku teks digital subjek sejarah untuk sekolah menengah akan mula diperkenalkan pada tahun 2027, diikuti mata pelajaran bahasa Korea, sosial, sains dan sejarah umum Korea pada tahun 2028, menurut kementerian itu.
Ini bermakna, buku teks digital akan digunakan untuk semua subjek mulai tahun 2028, kecuali untuk subjek yang berdasarkan aktiviti seperti muzik, seni, pendidikan jasmani dan etika, yang memerlukan pendidikan secara bersemuka.
Murid tahun satu dan dua sekolah rendah akan dikecualikan daripada penggunaan buku teks digital, kerana dianggap terlalu awal untuk didedahkan dengan peranti digital.
Menurut kementerian, pengenalan buku teks digital tidak bermakna buku teks biasa tidak lagi digunakan di sekolah.
"Buku teks biasa dan digital, kedua-duanya akan digunakan di sekolah sehingga semua pelajar, ibu bapa dan guru dapat mahir menggunakan buku teks digital AI dan sehingga hasil pendidikan yang diingini berjaya dicapai," menurut kementerian itu.
-- BERNAMA
#buku teks digital #kecerdasan buatan #Korea Selatan #teknologi AI
;