Bukan pemimpin Arab, Sukarno yang pertama baca al-Quran di PBB
Agensi
Jun 22, 2023 08:30 MYT
Jun 22, 2023 08:30 MYT
JAKARTA: Ketua Dewan Pimpinan Pusat (DPP) Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP), Hamka Haq mendakwa, Presiden pertama Indonesia, Sukarno merupakan pemimpin Islam pertama yang membacakan ayat-ayat suci al-Quran dalam forum rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Hamka, apa yang dilakukan oleh Sukarno itu sebetulnya melebihi tindakan pemimpin-pemimpin Islam di negara Timur Tengah.
"Beliau (Sukarno) tercatat sebagai pemimpin muda pertama yang membacakan ayat-ayat suci al-Quran di PBB.
“Semua pemimpin Arab tidak ada yang membacakannya (al-Quran). Yang memulakan ialah Sukarno dan banyak bukti bahwa beliau pemimpin nasionalis-agama," kata Hamka ketika berucap pada majlis Hari Hol sempena memperingati kematian ke-53 tahun Sukarno di Jakarta pada Rabu.
Sekalipun terkenal sebagai nasionalis, namun, Hamka turut mendakwa, pengasas Indonesia itu juga seorang pemimpin agama.
Memetik laporan portal berita CNN Indonesia, Hamka juga mendakwa, Sukarno pada asalnya ingin memasyhurkan kemerdekaan Indonesia pada 17 Ramadan, namun, rencana itu berubah kerana tokoh itu diculik ke Rengasdengklok.
Sementara itu, seorang lagi pemimpin DPP PDIP, Ahmad Basarah berpendapat, Sukarno merupakan seorang pemimpin yang pemikirannya sentiasa relevan.
Bahkan, tegas Ahmad Basarah, jasa-jasa Sukarno turut dikenang oleh negara-negara lain terutama di kawasan Afrika dan Asia.
Sumbangan besar Sukarno, kata Ahmad Basarah, diabadikan menjadi nama jalan di Mesir dengan nama Jalan Ahmed Soekarno.
Selain itu, jasa besar Sukarno di Mesir yang lain ialah membantu menyelamatkan Universiti Al-Azhar di Kaherah daripada dibubarkan oleh Presiden Mesir ketika itu, Jamal Abdul Naser.
Semasa pemerintahannya juga, Sukarno, kata Ahmad Basarah, diketahui mempunyai hubungan yang akrab dengan dua pertubuhan Islam Indonesia iaitu Nahdatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah.
"Beliau pernah menjadi Ketua Majlis Pengajaran Muhammadiyah di Bengkulu sejak tahun 1938 sampai 1942. Sekalipun beliau adalah kader Muhammadiyah, namun, warga Nahdlatul Ulama begitu menghormati Sukarno," ujar Ahmad Basarah lagi. - Agensi