Bukan Islam diharamkan berkunjung ke Al-Aqsa hingga Ramadan berakhir
Agensi
April 12, 2023 11:44 MYT
April 12, 2023 11:44 MYT
RAMALLAH: Israel mengharamkan pengunjung bukan Islam daripada mengunjungi Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis sehingga berakhirnya Ramadan, lapor portal berita Arab News.
Tindakan ini diambil selepas kemarahan memuncak ke atas pihak berkuasa keselamatan Israel kerana membenarkan kira-kira 800 orang penganut Yahudi bersembahyang di dalam kawasan masjid tersebut pada pagi Selasa iaitu pada hari keenam perayaan Paskah.
Kebenaran yang diberikan itu sekali gus melanggar perjanjian lama yang melarang aktiviti sebegini pada 10 hari terakhir bulan suci Islam.
Dalam masa sama, masih tidak jelas sama ada gerakan penempatan radikal Israel yang semakin berkuasa akan mematuhi dasar Al-Aqsa.
Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir yang terkenal dengan rekod jenayah menyokong keganasan dan hasutan perkauman mengecam pengharaman tersebut.
"Apabila terjadi serangan keganasan, kita harus membalas dengan kekuatan besar, bukan menyerah pada kemahuan pengganas," katanya.
Dalam perkembangan sama, bekas Mufti Besar Baitulmaqdis dan Palestin yang kini khatib di Al-Aqsa memberitahu Arab News: "Israel mahu membuktikan bahawa mereka yang memutuskan apa yang boleh dan tidak boleh berlaku di Al-Aqsa dan kami melihat ini sebagai perlanggaran dan provokasi yang melampau."
Sementara itu, keganasan Israel di Tebing Barat masih tidak berubah pada Selasa dengan tentera membunuh dua orang Palestin dan seorang lagi cedera dalam serangan berdekatan penempatan Elon Moreh.
Sumber Palestin memberitahu Arab News, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia iaitu Saud Al-Titi dan Mohammed Abu Dira merupakan bekas tahanan dan ahli Brigade Syuhada Al-Aqsa, sayap ketenteraan parti Fatah Presiden Mahmoud Abbas.