Budaya Aztec dihidupkan di Mexico City, selepas 500 tahun kejatuhan Tenochtitlan
Agensi
Ogos 14, 2021 12:41 MYT
Ogos 14, 2021 12:41 MYT
BUDAYA Aztec yang menyimpan cerita ratusan tahun kembali dihidupkan di Mexico City pada Khamis lalu, sempena memperingati 500 tahun kejatuhan ibu kota Tenochtitlan ke bawah kuasa Sepanyol.
Kewujudan tapak kota usang itu diyakini terus berada di bawah kepesatan pembangunan megalopolis Mexico City dan juga di kawasan Dataran Zocalo, lapor agensi berita Reuters.
Berdasarkan catatan sejarah, kota Tenochtitlan diasaskan pada tahun 1325, iaitu hampir 700 tahun lalu. Kota berkenaan terkenal kerana kekayaan budayanya dan antara penemuan yang menjadi bukti fizikal tentang kemajuan bangsa Aztec ketika itu adalah candi-candi yang megah serta sistem perparitan yang maju.
Bagi penduduk tempatan, Sergio Ramirez, yang menyertai upacara besar-besaran di Dataran Zocalo, adalah penting untuk Mexico memahami warisan sejarahnya.
''Perkara penting di sini adalah budaya itu dikongsi kepada semua, supaya mereka tahu tentang asal-usul, dan memahami akar budaya mereka, sama seperti sebuah pokok," ujarnya berfalsafah.
Pesta yang bermula pada Khamis lalu itu akan berpanjangan sehingga ke hujung minggu, malah dipercayai berterusan dengan pelbagai aturcara disediakan bagi disertai rakyat tempatan.
Bagi penduduk pribumi Mexico, kejatuhan Tenochtitlan pada ratusan tahun dahulu ibarat satu peristiwa hitam dalam sejarah negara itu. Ibu kota Aztec itu gagal dipertahan dan berada dalam cengkaman kuasa penakluk dari Sepanyol, Hernan Cortes, pada tahun 1521.
Di bawah kuasa Sepanyol, penduduk Aztec di Tenochtitlan dikatakan dipaksa memusnahkan candi dan istana mereka, dan sejak itu sisa runtuhan tersebut telah digunakan untuk menjadi asas pembinaan Mexico City yang moden.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !