Budak maut makan sate beracun: Polis tahan wanita berdendam bekas teman lelaki
Agensi
Mei 3, 2021 22:05 MYT
Mei 3, 2021 22:05 MYT
YOGYAKARTA: Polis Indonesia mengenal pasti dan menahan seorang wanita yang mengirim sate beracun kepada bekas teman lelaki dengan niat untuk membunuhnya, Jumaat lalu.
Dalam kejadian di Bantul, Yogyakarta pada 25 April lalu, sate itu yang dikirim melalui seorang penghantar makanan dikenali sebagai Bandiman, bagaimanapun tidak sampai kepada lelaki itu, apabila isterinya enggan menerima kerana tidak mengenali pengirim.
Isteri lelaki itu sebaliknya menyerahkan kembali sate berkenaan kepada Bandiman dan menyuruhnya membawa pulang sebagai juadah berbuka puasa.
Anak Bandiman yang memakan sate dicampur dengan potasium sianida itu kemudian muntah lalu pengsan sebelum dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian, lapor Bernama.
Susulan kejadian itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya mengenal pasti identiti pengirim makanan berkenaan iaitu wanita berusia 25 tahun dan menahannya Jumaat lalu.
Direktur Siasatan Jenayah Umum, Polis Bantul, Yogyakarta, Jawa Barat, Burkan Rudi Satria dipetik media tempatan, berkata hasil siasatan mendapati kejadian itu bermotifkan dendam kerana bekas teman lelakinya berkawin dengan wanita lain.
"Suspek membeli sate ayam dan menaburkan racun itu sebelum meminta Bandiman yang sedang berehat di Jalan Gayam, Yogyakarta, untuk menghantarkan juadah itu ke rumah bekas teman lelakinya di Bantul di Yogyakarta," katanya.
Suspek tidak menggunakan aplikasi dalam talian dan tidak memberikan identitinya yang sebenar dan kini berhadapan hukuman mati jika sabit kesalahan.
#sate beracun
#kanak-kanak maut
#pengirim wanita
#polis tahan
#yogjakarta
#dendam
#bekas teman lelaki kahwin wanita lain