Budak lelaki Thailand diuji positif COVID-19 selepas kembali dari Afrika Selatan
Bernama
Jun 21, 2020 21:47 MYT
Jun 21, 2020 21:47 MYT
Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang baru kembali dari Afrika Selatan adalah pesakit terbaru COVID-19 dilaporkan di Thailand dalam tempoh 24 jam yang lepas, menurut Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA).
Menurut CCSA, budak itu yang kembali dari Afrika Selatan bersama ibunya pada 15 Jun, menjalani kuarantin 14 hari di kemudahan negeri di Chon Buri.
"Budak itu diuji positif COVID-19. Bagaimanapun ibunya diuji negatif," menurut CCSA dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehingga kini, Thailand melaporkan 3,148 kes COVID-19 dengan 58 kematian. Seramai 3,018 pesakit telah sembuh dan dibenar keluar hospital manakala 72 masih menjalani rawatan.
Hari ini adalah hari ke-27 tiada penularan tempatan di Thailand.
Sementara itu, Bangkok Post melaporkan pusat hiburan termasuk pub, bar dan karaoke dijangka dibuka semula pada 1 Julai.
Keputusan itu dicapai selepas mesyuarat antara Pengerusi Jawatankuasa Kecil mengenai Pelonggaran Sekatan, CCSA, Nattapol Nakpanit dengan pengendali serta pengusaha perniagaan.
Nattapol berkata langkah kebersihan yang perlu akan dilaksanakan untuk menghalang gelombang kedua pandemik COVID-19.
Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha dijangka mempengerusikan mesyuarat CCSA pada Jumaat untuk membuat keputusan.
Minggu lepas, golongan pemuzik dan penghibur merayu kepada kerajaan untuk membuka semula pusat hiburan di negara itu selepas tiga bulan tidak beroperasi.
-- BERNAMA