'Budak gua' tidak dapat tonton siaran langsung Piala Dunia
Sinar Harian
Julai 15, 2018 17:37 MYT
Julai 15, 2018 17:37 MYT
Kesemua 12 remaja bersama jurulatih pasukan bola sepak 'Wild Boars' yang diselamatkan dari gua Tham Luang pada minggu lalu hanya dapat menonton rakaman perlawanan akhir Piala Dunia 2018 yang menyaksikan Perancis menentang Croatia pada hari ini.
"Waktu siaran langsung itu agak lewat. Kami mahu mereka berehat dan tidak terlalu kerap melihat skrin televisyen. Jadi, kami akan merekodkan untuk mereka," kata jurucakap di hospital Chiang Rai Prachanukroh.
Difahamkan, perlawanan akhir di Moscow itu akan berlangsung pada jam 10 malam (waktu tempatan).
Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ada menawarkan tiket percuma kepada kesemua 13 mangsa untuk bersama-sama menyaksikan perlawanan final itu, namun mereka tidak dibenarkan menghadiri acara itu atas faktor kesihatan.
Selain itu, kelab bola sepak, Manchester United juga menjemput kesemua mereka untuk menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford.
Dalam perkembangan berkaitan, kira-kira 4,000 sukarelawan menyertai operasi pembersihan di sekitar gua Tham Luang selepas pasukan keselamatan bersama keluarga dan petugas media 'berkampung' selama lebih dua minggu sepanjang misi menyelamat tersebut. - Reuters
#bola sepak
#Croatia
#EPL
#Gua
#hospital Chiang Rai Prachanukroh
#jurulatih
#Liga Perdana Inggeris
#Moscow
#Perancis
#Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa
#Piala Dunia 2018
#remaja
#Tham Luang
#wild boars