Budak empat tahun, meninggal dalam pesawat
Sinar Harian
November 15, 2018 07:51 MYT
November 15, 2018 07:51 MYT
Kanak-kanak India berusia empat tahun meninggal dunia dalam perjalanan pulang dari Umrah.
Yahya Puthiyapurayil disahkan meninggal dunia dalam pesawat dipercayai mengalami epilesi (sawan) selepas 45 minit berlepas dari Lapangan Terbang Jeddah.
Memetik Khaleejatimes, penerbangan Pesawat Oman Air menuju Kozhikode di Kerala terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Abu Dhabi pada petang Isnin lalu.
Menurut bapa saudaranya Mohammed Nadeer berkata, Yahya mengalami demam ketika pulang dari Jeddah dan secara tiba-tiba diserang sawan ketika berada dalam pesawat.
"Dia meninggal dunia di pangkuan ibunya," katanya.
Yahya adalah anak lelaki buat pasangan Muhammad Ali dan Jubairiah dan arwah adalah anak bongsu dari tiga beradik.
Menurut Mohammed Nadeer, Yahya adalah seorang kanak-kanak istimewa tidak dapat berjalan dan bertutur.
"Dia bergantung kepada kerusi roda sejak dilahirnya dan masih menerima rawatan sehingga kini.
"Mereka pergi Umrah secara berkumpulan seramai 13 orang termasuk ibu bapanya, pembantu dan ahli keluarga," katanya.
Sementara itu, pegawai kedutaan India berkata, jenazah kanak-kanak itu telah dihantar pulang awal pagi pada penerbangan Etihad dan selamat dikebumikan di Kannur. - Khaleejatimes