Budak 8 tahun maut disambar buaya ketika mandi bersama rakan
Astro Awani
Oktober 19, 2021 11:34 MYT
Oktober 19, 2021 11:34 MYT
Indonesia merupakan habitat kepada beberapa spesies buaya, dan serangan seumpama itu biasa terjadi di mana populasi manusia dan reptilia berkenaan hidup. - Gambar hiasan
LOMBOK: Seekor buaya besar dilapor menyerang dan memakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun di Indonesia ketika mangsa mandi bersama rakan-rakan di sebuah sungai.
Kejadian ngeri itu berlaku pada Rabu di Pulau Buru, di sini, lapor portal Tribunnews.
Mangsa yang dikenali sebagai Suci Ramadhani difahamkan sedang mandi bersama rakan-rakannya ketika diserang buaya berkenaan di sungai di daerah Teluk Kayeli.
Penduduk yang bergegas ke tempat kejadian nampak kepala kanak-kanak itu terkeluar dari mulut haiwan berkenaan.
Mereka kemudian berjaya menikam buaya itu dengan tombak lalu membunuhnya.
Namun, ketika perut buaya itu dibelah, mereka bagaimanapun tidak menemukan jasad kanak-kanak tersebut.
Mayat mangsa hanya ditemukan pada awal pagi Jumaat, dua hari selepas kejadian.
"Sungai ini memang diketahui dipenuhi buaya air masin.
"Sekurang-kurangnya dua serangan buaya telah terjadi dalam 10 tahun terakhir," kata pihak berkuasa.
Indonesia merupakan habitat kepada beberapa spesies buaya, dan serangan seumpama itu biasa terjadi di mana populasi manusia dan reptilia berkenaan hidup.
BERITA BERKAITAN