Budak 8 tahun dirogol, dihentak dengan batu hingga mati
Agensi
Jun 10, 2019 19:38 MYT
Jun 10, 2019 19:38 MYT
Seorang kanak-kanak perempuan dirogol sebelum dihentak dengan batu hingga mati dalam kes yang mencetuskan kemarahan dan protes di seluruh India.
Protes memuncak di mana masyarakat menuntut keadilan terhadap kanak-kanak berusia lapan tahun itu dan menggesa pelaku dikenakan hukuman mati.
Mangsa yang dikenali sebagai Asifa Bano diculik dan diberi dadah pada 10 Januari lalu sebelum dikurung di sebuah kuil di daerah Kathua.
Asifa dilapor diserang secara seksual selama seminggu sebelum dia dicekik dan dihentak dengan batu hingga mati.
Mayat Asifa ditemukan di kawasan hutan pada 17 Januari.
Susulan kejadian, lapan suspek telah ditahan.
Enam yang ditahan termasuk bekas pegawai kerajaan serta dua anggota polis yang disabitkan atas kesalahan memusnahkan bukti.
Mahkamah India pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas tiga tertuduh di atas kesalahan merogol dan membunuh Asifa.
Tiga yang lain termasuk dua anggota polis pula dijatuhi hukuman penjara lima tahun.
Suspek ketujuh dibebaskan kerana kekurangan bukti, manakala tertuduh kelapan, seorang lelaki bawah umur, dibicarakan secara berasingan.