Budak 3 tahun cuba tipu ibu

Astro Awani
Februari 7, 2013 06:31 MYT
Seorang ibu di Boston, Amerika Syarikat memuat naik sebuah klip video yang memaparkan gelagat anaknya yang berbohong selepas 'ditangkap' makan gula hiasan kek.
Ibu itu, Erica Boarman, 25, merakamkan aksi tersebut selepas anaknya enggan mengaku.
Anak itu, John, berumur tiga tahun.
Menurut Erica, dia meninggalkan anaknya itu bermain di dapur kerana melayan seorang lagi anaknya yang berumur lapan bulan.
Apabila kembali ke dapur, ketika itulah dia 'menangkap' anaknya makan gula hiasan itu.
Menurut Erica, dia tidak dapat menahan diri daripada merakamkan aksi John menggunakan kamera telefon selepas anaknya itu enggan mengaku salah.
Pada mulanya, dia memuat naik klip video itu untuk tatapan ahli keluarga di serata Amerika tetapi apabila rakan-rakannya di Facebook menyukai paparan itu, dia kemudian meletakkannya di YouTube.
"Selepas itu, kami berbincang panjang lebar tentang menipu," tulis Erica di YouTube.
Jelas Erica, anaknya itu mempunyai imaginasi yang luar biasa dan suka bercerita.
Bagaimanapun, dia mula pandai menipu sejak akhir-akhir ini.
Katanya lagi, dia sedang berusaha untuk membetulkan tingkah laku anaknya itu dan John mula faham ia sesuatu yang tidak patut dilakukan.
#bohong
;