Budak 13 tahun jadi wira, bertindak pantas hentikan bas selepas pemandu pengsan
Agensi
April 28, 2023 17:54 MYT
April 28, 2023 17:54 MYT
MICHIGAN: Seorang budak lelaki gred tujuh di Detroit, Michigan, Amerika Syarikat disanjung sebagai wira apabila dia melakukan suatu tindakan yang bukan sahaja menyelamatkan belasan murid sekolah lain, malah ramai pengguna jalan raya.
Dillon Reeves, 13, sama sekali tidak berfikir tentang sanjungan yang bakal diterimanya ketika dia nekad bangun dari tempat duduknya di dalam bas sekolah yang dinaikinya, untuk mendekati pemandunya.
Apa yang disedarinya ketika itu adalah bas sedang meluncur sendiri sementara pemandunya dalam keadaan pengsan.
Dillon bergegas ke bahagian tempat duduk pemandu itu untuk segera menghentikan bas berkenaan yang sedang memasuki kawasan trafik yang sibuk di Detroit, lapor AP.
Kejadian itu dirakamkan dalam kamera video yang terletak di atas tempat duduk pemandu. Video itu pada awalnya menunjukkan pemandu bas yang mengipas dirinya dengan topi besbol, dipercayai kerana berasa tidak selesa atau kepanasan.
Pemandu itu juga dilihat sempat mencapai alat komunikasi untuk menghubungi pejabat pengangkutan dan memberitahu bahawa dia harus berhenti.
Seterusnya rakaman video menunjukkan pemandu tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri sejurus tangannya dilepaskan dari pegangan stereng.
Selang beberapa saat, Dillon bergegas ke bahagian hadapan bas, melompat ke ruang pemandu, menekan brek dan klac serta mengawal stereng.
“Sesiapa, hubungi 911 sekarang!" jerit Dillon kepada murid-murid lain di dalam bas berkenaan.
Dillon diangkat sebagai wira selepas kejadian itu dalam beberapa acara anjuran sekolah dan pihak berkuasa tempatan. Pelbagai media tempatan juga membuat liputan mengenainya.
“Dalam 35 tahun perkhidmatan saya, perkara ini adalah tindakan luar biasa dan menunjukkan kematangan si pelakunya," ujar pentadbir Warren Consolidated Schools, Robert Livernois.
"Saya tidak tahu jika situasi itu boleh menjadi lebih baik," ujar Livernois lagi. "Apabila anda memiliki pengendali seperti Dillon yang bertindak mengikut naluri dan kaedah yang betul di dalam bas itu, ia sememangnya hari yang baik untuk kita semua."
Dillon menolak untuk bercakap dengan wartawan pada Khamis, namun ibu bapanya, Steve dan Ireta Reeves, mewakilinya dan menzahirkan rasa bangga.
"Kami memiliki wira cilik," ujar bapa Dillon. "Sejak umurya 4 tahun saya bawa dia di pangkuan dan memandu di kawasan desa, memasuki laluan depan rumah. Dia pemandu yang bagus."