Budak 12 tahun bercuti di Bali sendirian, joli kad kredit ibu bapa sampai ribuan dolar
Agensi
April 24, 2018 19:48 MYT
April 24, 2018 19:48 MYT
Polis Australia pada Selasa menyiasat kes seorang budak lelaki 12 tahun yang berjaya menaiki pesawat tanpa ditemani sesiapa untuk ke Bali, Indonesia seterusnya menginap selama empat hari di sebuah resort menggunakan kad kredit ibu bapanya.
Agensi berita AFP melaporkan, kanak-kanak yang melarikan diri dari rumah di Sydney selepas ‘bertelingkah’ dengan ibunya itu pernah mengunjungi pulau peranginan itu bersama keluarganya sebelum ini.
Dia telah menaiki pesawat tambang rendah Jetstar dan transit di Perth sebelum meneruskan penerbangan ke Bali, kata media tempatan.
“Dia tidak suka bila saya katakan ‘jangan’ kepadanya,” kata ibunya, Emma, yang turut mempertikai kawalan pelepasan penumpang kanak-kanak yang tidak ditemani ibu bapa atau penjaga di lapangan terbang.
Kanak-kanak itu berfoya-foya masa selama empat hari di Bali, mendaftar masuk ke hotel, menyewa skuter dan minum bir.
Rahsia ‘percutian’ yang bernilai A$8,000 (RM23,760) itu akhirnya terbongkar selepas seorang rakan memberitahu ibunya tentang sebuah video yang mempunyai tagging lokasi.
Polis Persekutuan Australia berkata, mereka pada awalnya mendapat notifikasi tentang percubaan kanak-kanak itu keluar negara bersendirian pada 8 Mac lalu, sebelum mendapat petunjuk bahawa dia berada di Bali pada 17 Mac.
Kanak-kanak itu ditemui polis Indonesia pada hari berikutnya.
Ibu bapanya kemudian telah datang ke Bali untuk membawanya pulang.
Polis Australia berkata, notifikasi amaran tentang pelepasan perjalanan tidak ditandakan pada kanak-kanak itu, dan pihaknya tidak mempunyai kuasa menghalang atau membatalkan pasport jika tiada aspek jenayah terlibat.