Buaya tertelan penyumbat tab mandi diselamatkan dari tasik
Agensi
Februari 25, 2023 16:05 MYT
Februari 25, 2023 16:05 MYT
NEW YORK: Seekor buaya yang diselamatkan dari sebuah tasik di New York pada hujung minggu lalu didapati tertelan penyumbat tab mandi, kata pihak berkuasa.
Buaya betina sepanjang hampir 5 kaki (1.5 meter) itu ditemui dalam keadaan lesu dan kesejukan semasa ditemui Ahad lalu di Tasik Prospect Park Brooklyn.
Ia ditempatkan di Pusat Penjagaan Haiwan New York sebelum dibawa ke Zoo Bronx, dan kini sedang dalam proses pemulihan.
Pegawai zoo memaklumkan buaya itu terlalu lemah untuk makan sendiri dan terpaksa diberi makan melalui tiub. Dengan berat 15 paun (6.8 kilogram), buaya itu sangat kurus, kerana buaya dengan saiz sedemikian sepatutnya mempunyai berat sekitar 30 hingga 35 paun (13.6 hingga 15.9 kilogram).
Imbasan x-ray menunjukkan buaya berusia antara 5 hingga 6 tahun itu telah menelan penyumbat tab mandi sepanjang empat inci (10 sentimeter), dan keadaannya yang terlalu lemah tidak mengizinkan pembedahan dilakukan untuk mengeluarkannya.
Memiliki buaya sebagai peliharaan di New York adalah haram, tetapi apa yang sering berlaku ialah orang ramai membeli anak buaya dan kemudian melepaskannya apabila dewasa.
"Meninggalkan buaya di sebuah tasik di Brooklyn pada musim sejuk adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan menganiaya haiwan itu," kata Pengarah Zoo Bronx, Jim Breheny.