Buaya gergasi 15 kaki mati ditembak di Florida, netizen gempar
Madiha Abdullah
April 8, 2016 08:33 MYT
April 8, 2016 08:33 MYT
Dua pemburu di Florida, Amerika Syarikat terkejut besar apabila berjaya menangkap buaya besar di sebuah kolam berdekatan ladang ternakan mereka.
Lee Lightsey dan Blake Godwin, yang memiliki agensi pemburuan dan penternakan Outwest Farms, menembak mati buaya itu selepas ia memakan beberapa ekor lembu yang diternak mereka.
Sebaik sahaja berjaya menangkap buaya itu, Lightsey dan Goldwin memuat naik gambar reptilia itu ke akaun Facebook agensi berkenaan.
Apa yang menjadi perbualan di laman sosial adalah saiz buaya tersebut yang luar biasa, malah dianggarkan sepanjang 15 kaki.
Ramai juga yang menuduh gambar tersebut telah disunting sebelum dimuat naik.
Namun Lightsey dan Goldwin memberitahu portal berita CNN bahawa gambar itu diambil menggunakan kamera telefon bimbit, dan terus dimuat naik sebaik diambil.
Sudut rakaman kamera telah menghasilkan ilusi optik, sehingga kelihatan buaya itu sangat besar daripada saiz sebenar. Namun, ada beberapa lagi gambar lain yang lebih jelas menunjukkan nisbah saiz buaya itu dengan seorang kanak-kanak lelaki.
Media tempatan melaporkan, kerana saiznya yang terlalu besar, buaya itu terpaksa diangkat keluar dari kolam menggunakan jentolak.
Agensi Outwest Farms yang dimiliki mereka, antara agensi yang aktif dalam pemburuan buaya dan babi hutan berlesen, sejak 18 tahun lalu.
Florida, sebuah negeri di tenggara Amerika Syarikat, telah sekian lama menjadi 'kediaman' buaya gergasi, bersaiz antara 10 hingga 15 kaki. Kebanyakan buaya ini boleh ditemui di kawasan air tawar seperti kolam dan sungai.