Buaya beku dalam paya, sorong hidung untuk bernafas

Astro Awani
Januari 26, 2019 12:58 MYT
Buaya di The Swamp Park terus hidup dengan menyorongkan hidung ke udara dalam paya yang membeku. Foto: AP
Pengunjung di taman perlindungan The Swamp Park di North Carolina, Amerika Syarikat (AS) dikejutkan dengan pemandangan aneh iaitu buaya beku yang masih hidup.
Dengan hanya mengeluarkan bahagian hidung untuk bernafas, 18 buaya di pusat itu masih hidup biarpun dalam keadaan paya yang membeku.
Ramai yang terkejut dengan keadaan itu dan ada juga yang pada awalnya beranggapan ia hanyalah tunggul kayu.
Cuaca sejuk di AS merekod tahap rendah sehingga 4 darjah Celsius.
Pengurus pusat itu, George Horward memberitahu, 18 reptilia mereka berada dalam keadaan beku, tetapi masih hidup.
“Ia sangat bijak. Menyorongkan hidung ke udara di permukaan paya yang beku untuk terus hidup.
“Keadaan ini dipanggil ‘brumation’ iaitu keadaan tidak aktif oleh reptilia semasa musim sejuk atau tempoh lanjutan suhu rendah,” katanya kepada The Washington Post.
Hidupan ini lazimnya merehatkan metabolisme dengan tidak makan kerana tiada tenaga yang dibakar dalam tempoh itu.
Ia turut memperlahankan kadar denyutan jantung, sistem pencernaan dan hanya bertahan dalam keadaan cuaca sejuk.
Sebaik cuaca kembali normal, reptilia berkenaan akan kembali semula kepada kehidupan biasa.
#Amerika Syarikat #beku #buaya #hidung #North Carolina #sejuk #the swamp park
;