Buat kenyataan 'boleh saya cium awak', bekas menteri Jepun dipotong duit pencen
Agensi
April 27, 2018 21:45 MYT
April 27, 2018 21:45 MYT
KEMENTERIAN Kewangan Jepun memaklumkan akan memotong elaun pencen bekas anggota birokratnya yang didapati bersalah mengganggu secara seksual seorang wartawan wanita.
Menurut laporan Japan Times, kementerian itu juga merancang akan menolak 20 peratus dari manfaat persaraan yang diterima bekas Timbalan Menteri Pentadbiran, Junichi Fukuda yang berjumlah ¥53 juta (RM1.9 juta).
"Ini adalah satu perkara yang amat dikesali dan (kami) memohon maaf," kata pegawai kanan kementerian Koji Yano dalam satu sidang akhbar pada Jumaat.
Kementerian juga kini menamatkan siasatannya terhadap tuduhan itu.
Fukuda, pada awalnya menafikan dakwaan gangguan seksual yang dibuat oleh seorang wartawan dari sebuah majalah mingguan, Shukan Shinso ketika kertas siasatan ke atasnya dibuka kementerian.
Bagaimanapun, dalam siasatan itu Fukuda mengakui bertemu wartawan berkenaan.
Fukuda juga meletakkan jawatannya pada minggu lepas kerana menghadapi kesukaran menjalankan tugasnya ketika kontroversi itu melanda.
Majalah itu melaporkan awal bulan ini bahawa Fukuda telah membuat komen seksual yang menimbulkan rasa kurang senang kepada wartawan wanita berkenaan.
Majalah itu juga bertindak memuatnaik rakaman audio temubual wartawan bersama Fukuda yang jelas menunjukkan Fukuda menggunakan perkataan berbaur seksual seperti "Bolehkah saya cium kamu?" Dan "Bolehkah saya peluk kamu?"
Rakaman audio itu kemudiannya diserahkan kepada stesen TV Asahi.
Menteri Kewangan, Taro Aso sendiri telah menghadapi banyak desakan dari pihak pembangkang yang meminta beliau meletak jawatan kerana memilih Fukuda bagi jawatan itu sebelum ini.
Bagaimanapun, Aso mengatakan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan sambil menambah bahawa keutamaannya adalah untuk mendedahkan kebenaran dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesalahan yang sama tidak berlaku lagi.