Brunei sambut Aidiladha pada 21 Julai

Faris Danial Razi
Julai 17, 2021 23:39 MYT
Umat Islam di negara itu akan menunaikan solat sunat hari raya Aidiladha, seruan takbir dan mengerjakan ibadan korban seperti biasa. - Gambar Fail
PERAYAAN Aidiladha yang bakal disambut Brunei pada (Selasa) 21 Julai dilihat tidak sama seperti di beberapa negara Islam di Asia Tenggara yang lain.
Memetik laporan Borneo Bulletin, umat Islam di negara itu akan menunaikan solat sunat hari raya Aidiladha, seruan takbir dan mengerjakan ibadan korban seperti biasa.
Sebelum ini, kesemua saluran Radio Televisyen Brunei (RTB) melaporkan anak bulan Zulhijjah tidak kelihatan di negara itu menjelang waktu Maghrib pada 10 Julai lalu.
Sehubungan itu, setelah diperkenankan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, bulan Zulkaedah kali ini digenapkan cukup 30 hari dan tarikh 1 Zulhijjah akan bermula pada 12 Julai lalu.
Menerusi pengumuman rasmi oleh hakim Mahkamah Tinggi Syariah Brunei, Pengiran Datuk Seri Setia Mohd. Tashim Pengiran Hassan, Aidiladha di negara itu disambut pada 21 Julai ini.
Brunei setakat ini telah mencatatkan kes sifar COVID-19 untuk 435 hari berturut-turut, menjadikan jumlah kes di negara itu kekal pada 282.
#Brunei #hari raya #Aidiladha #syariah #Islam #COVID-19
;