Brunei pinda langkah kawalan COVID-19 bermula Khamis
Bernama
November 29, 2022 12:38 MYT
November 29, 2022 12:38 MYT
BANDAR SERI BEGAWAN: Jawatankuasa Kemudi COVID-19 Brunei pada Isnin mengumumkan pindaan terbaharu terhadap langkah kawalan COVID-19 yang akan dikuatkuasa pada Khamis.
Menurut jawatankuasa itu, rakyat dan penduduk Brunei termasuk warga asing yang ingin keluar dan masuk ke negara itu menggunakan jalan darat, laut dan udara tidak lagi diwajibkan memiliki insurans perlindungan perjalanan COVID-19, lapor Xinhua.
Bagaimanapun, pelancong yang ingin mendapatkan insurans sedemikian untuk diri sendiri digalak berbuat demikian.
Rakyat Brunei yang berhasrat melancong ke luar negara juga digalakkan untuk memaklumkan kepada Kementerian Luar mengenai butiran perjalanan mereka dengan mengemukakannya melalui laman sesawang kementerian.
Pindaan kawalan COVID-19 sebelum ini tidak lagi memerlukan pelancong menjalani ujian COVID-19, kuarantin atau mempamerkan status vaksinasi penuh.
Penggunaan pelitup muka di kawasan tertutup dan terbuka juga tidak lagi diwajibkan.
Jawatankuasa itu memaklumkan pihaknya akan terus memantau situasi semasa COVID-19 di negara ini sambil memastikan sebarang langkah kawalan yang dikenakan adalah bersesuaian demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk Brunei.
Brunei mencatatkan purata kes harian sebanyak 643 kes pada minggu lalu berbanding 649 kes sehari pada minggu sebelumnya, menandakan penurunan pertama dalam tempoh sembilan minggu lalu, menurut statistik rasmi pada Isnin.
Menurut kementerian kesihatan Brunei, setakat ini hanya dua kes dimasukkan ke unit rawatan rapi dan tiada kes memerlukan bantuan oksigen.
Setakat 27 Nov, 78.8 peratus penduduk Brunei menerima tiga dos vaksin COVID-19, manakala 11.2 peratus telah menerima dos keempat.
Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech, Moderna, AstraZeneca dan Sinopharm China adalah vaksin yang mendapat kelulusan untuk digunakan di negara Asia Tenggara itu.
-- BERNAMA