Britain: Putera Philip akhiri tugasan rasmi

Bernama
Ogos 3, 2017 15:42 MYT
Putera Philip memberi penghormatan kepada anggota terlibat dalam 'Global Challenge 1664' iaitu satu program untuk menjalankan aktiviti amal selain mengumpul dana. - REUTERS
Suami Ratu Elizabeth II, Putera Philip membuat penampilan solo terakhirnya pada Rabu, sebelum baginda bersara daripada menjalankan tugas rasmi kerajaan, lapor agensi berita China Xinhua.
Putera Philip, 96, mengadakan pertemuan bersama anggota Pasukan Marin Diraja dalam satu majlis di Istana Buckingham.
Baginda merangkap Kapten Jeneral Pasukan Marin Diraja, memberi penghormatan kepada anggota terlibat dalam 'Global Challenge 1664' iaitu satu program untuk menjalankan aktiviti amal selain mengumpul dana.
Ia adalah tugasan solo baginda ke 22,219 sejak tahun 1952.
Pada Mei diumumkan Putera Philip tidak lagi menjalankan tugasan rasmi baginda sendiri tetapi akan menemani Ratu Elizabeth pada upacara tertentu dari semasa ke semasa.
Menurut Istana Buckingham sehingga kini, baginda telah melaksanakan sebanyak 637 tugasan solo ke luar negara, menyampaikan 5,496 ucapan, menulis 14 buku dan menjalankan tugasan sebagai penaung untuk 785 pertubuhan.
Sementara itu, Ratu Elizabeth, 91, masih meneruskan tugasan rasminya.
Putera Philip telah berkahwin selama 70 tahun dan merupakan raja paling lama berkhidmat dalam sejarah British.
Pada 2013 baginda pernah menjalani pembedahan di abdomen selain pernah dirawat akibat masalah arteri koronori tersumbat pada 2011.
-- BERNAMA
#bersara #Britain #penampilan terakhir #Putera Philip
;