AS, Britain lancar serangan baharu ke atas Houthi di Yaman

Astro Awani
Januari 23, 2024 07:00 MYT
Pesawat Tentera Udara Diraja Britain, Typhoon FGR4, bersiap sedia menyertai operasi menyerang Houthi di Yaman. - Foto AP
SANAA: Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Britain melancarkan siri serangan udara baharu menyasarkan beberapa tapak kumpulan Houthi di Yaman.
Menurut Pentagon, serangan itu membedil lapan sasaran termasuk sebuah tapak penyimpanan bawah tanah, peluru berpandu dan keupayaan pengawasan digunakan oleh Houthi terhadap kapal di Laut Merah.
Houthi menyerang kapal yang ada kaitan dengan Israel dan barat di Laut Merah, sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin ketika rejim Zionis meneruskan operasi ketenteraan di Gaza.
AS dan United Kingdom (UK) pula mempertahankan serangan itu dengan menyatakan kedua-dua negara cuba melindungi 'aliran perdagangan bebas'.
Pentagon dalam satu kenyataan bersama mengesahkan serangan baharu dilancarkan ke atas kumpulan disokong Iran itu.
Kata kenyataan itu, matlamat mereka adalah untuk meredakan ketegangan dan memulihkan kestabilan di Laut Merah.
Pada masa sama, ia mengulangi amaran kepada kepimpinan Houthi bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak mempertahankan nyawa dan aliran bebas perdagangan di laluan air paling penting di dunia ketika menghadapi ancaman berterusan.
Ia merupakan serangan kelapan dilakukan oleh tentera AS menyasarkan tapak Houthi di Yaman.
Malah, ia juga merupakan operasi bersama kedua dengan UK, selepas serangan bersama pertama dilancarkan pada 11 Januari lalu.
Berdasarkan kenyataan itu, serangan tersebut dilakukan dengan sokongan daripada Australia, Bahrain, Kanada dan Belanda.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan UK memaklumkan empat pesawat Typhoons milik Tentera Udara Diraja Britain serta dua kapal tangki Voyager menyertai operasi AS.
Menteri Pertahanan UK, Grant Shapps menyifatkan serangan udara tersebut sebagai `pertahanan diri’ terhadap serangan Houthi ke atas kapal-kapal komersial.
TV Al Masirah yang dikendalikan Houthi pula melaporkan serangan berlaku di wilayah Sanaa, Taiz dan Bayda di Yaman termasuk pangkalan udara Al-Dailami berhampiran ibu negara.
Serangan Houthi ke atas kapal komersial di Laut Merah menyebabkan banyak syarikat perkapalan terbesar dunia mengubah laluan perjalanan sekaligus mengakibatkan gangguan kepada perdagangan global.
Sebelum ini, Washington menyenaraikan semula Houthi dalam senarai kumpulan pengganas.
Ia dilihat sebagai usaha terbaharu Washington untuk membendung serangan ke atas kapal komersial menggunakan laluan perkapalan antarabangsa di Laut Merah.
#Houthi #Laut Merah #serangan udara #Palestin
;