Britain buka permohonan visa kepada warga Hong Kong
Astro Awani
Januari 31, 2021 10:16 MYT
Januari 31, 2021 10:16 MYT
HONG KONG: Jutaan visa ditawarkan kepada warga Hong Kong (HK) untuk menetap di Britain menerusi sistem baharu yang diperkenalkan mulai hari ini.
Ia susulan tindakan keras China ke atas warga HK ekoran protes besar-besaran yang bertukar ganas tahun lepas.
Langkah Britain ini membolehkan warga HK yang mempunyai pasport kewarganegaraan (luar negara) atau BNO membuat permohonan secara dalam talian bagi membolehkan mereka tinggal dan bekerja di United Kingdom (UK).
Mereka juga dibolehkan untuk memohon kewarganegaraan selepas menetap lima tahun, lapor Japan Times.
Pemerintah China sebelum ini meminta Britain agar tidak memberikan pasport kepada tiga juta warga HK dan mendesak agar ia berhenti mencampuri urusan dalaman negara itu.
Sementara itu, Perdana Menteri UK, Boris Johnson menuduh China mengingkari janji pada tahun 1997 yang antara lain mengekalkan Hong Kong sebagai hab kewangan bebas dan berautonomi selama 50 tahun.
#United Kingdom
#Hong Kong
#Britain
#China
#Japan
#Visa
#Boris Johnson
#BNO
#pasport kewarganegaraan British