Britain boikot Piala Dunia

Sinar Harian
Julai 7, 2018 11:00 MYT
Rusia mengalu-alukan kehadiran May untuk menyaksikan perlawanan suku akhir antara England dan Sweden pada hari ini. - Foto Sinar Harian
Kerajaan Britain kekal melakukan boikot diplomatik terhadap Piala Dunia 2018 yang sedang berlangsung di Rusia susulan insiden serangan agen saraf terbaharu di barat daya England yang kembali mendapat perhatian negara antarabangsa.
Keputusan itu dibuat menjelang perlawanan suku akhir yang menyaksikan pasukan bola sepak kebangsaan England menentang Sweden pada hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Theresa May mengumumkan langkah boikot itu selepas Rusia didakwa mendalangi cubaan membunuh bekas perisik Moscow, Sergei Skripal dan anak perempuannya di Salisbury yang mana Kremlin menafikan tuduhan itu sekeras-kerasnya.
BACA: Polis UK sahkan bekas perisik Rusia diracun dengan agen saraf
Awal minggu lalu, London mengulangi pendiriannya tentang perkara tersebut dan menuntut jawapan Rusia tentang bagaimana pasangan rakyat Britain terdedah dengan Novichok yang dihasilkan Kesatuan Soviet.
Sementara itu, Menteri Keselamatan, Ben Wallace dalam satu kenyataan menyifatkan Piala Dunia bukan mengenai politik atau pemimpinnya.
"Isu itu bagaimanapun tidak wajar diketepikan kerana kami percaya Moscow kembali melakukan cubaan bunuh seperti dibuat pada Mac lalu," katanya.
Kremlin sekali lagi menafikan tuduhan tersebut dan menuntut permohonan maaf daripada Britain kerana membuat tuduhan tidak berasas itu.
BACA: Guna agen saraf, tuduhan May tidak berasas - Putin
Beberapa negara lain termasuk Iceland, Poland, Sweden dan Denmark juga mengikut jejak langkah London selepas ia mengumumkan tindakan boikot diplomatik itu, namun Moscow mendakwa ramai tetamu peringkat tertinggi yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.
#boikot #bola sepak #Britain #Diplomatik #Piala Dunia 2018 #Rusia #Salisbury #serangan agen saraf #Sergei Skripal #suku akhir #Sweden #Therea May
;