Britain bantu Gaza, laksana 'airdrop' ke-11
Astro Awani
Mei 10, 2024 08:15 MYT
Mei 10, 2024 08:15 MYT
GAZA: Bantuan udara oleh Britain dan negara Arab yang melalui Jordan merupakan bantuan menyelamat penduduk Gaza.
Komander tentera British, Peter Squires berkata ia bagi membantu rakyat Palestin yang kelaparan di Gaza kerana lintasan yang ditutup oleh Israel menyukarkan mereka untuk mendapatkan bantuan.
Beliau yang juga Naib Marshal Udara berkata, bantuan udara yang menggunakan kaedah 'airdrop' ini merupakan kali ke-11 dilakukakn oleh Tentera Udara Diraja British.
Ia kekal sebagai sebahagian penting dalam usaha untuk menghantar barangan kemanusiaan dan menyelamatkan nyawa penduduk Gaza.
Dengan laluan darat ke Gaza sukar untuk diakses dan tidak beroperasi sepenuhnya, Jordan telah mengetuai gabungan tentera udara barat dan Arab yang telah memberi tumpuan kepada bantuan udara di Gaza.
Baginya keperluan di sana lebih besar ekoran risiko kebuluran yang menghampiti tahap bencana.
Bantuan udara kebanyakannya dijatuhkan berhampiran dengan pantai Gaza kerana ia merupakan tempat paling selamat untuk menggugurkan bantuan.
Squires berkata, pengawasan dari kokpit dan perancangan terperinci memastikan pakej bantuan itu mendarat di tempat paling selamat untuk rakyat Palestin mencapainya.
Bagaimanapun terdapat beberapa kematian akibat kegagalan payung terjun apabila bantuan jatuh ke atas warga Gaza yang menunggu mereka.