Britain bakal kurangkan sekatan perjalanan antarabangsa
Astro Awani
Jun 24, 2021 05:53 MYT
Jun 24, 2021 05:53 MYT
LONDON: Britain akan kurangkan sekatan perjalanan dengan membenarkan individu yang lengkap terima suntikan vaksin melancong tanpa perlu kuarantin sekembalinya dari perjalanan mereka.
Jabatan Pengangkutan memaklumkan polisi baharu itu dijadual dilaksanakan secara berperingkat bermula Julai.
Menurut Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps, pihaknya akan meneliti negara dalam senarai dan membenarkan pengembara kembali tanpa melalui proses kuarantin.
"Kami akan mengamalkan sikap terbuka dan sekiranya pengembara tersebut telah terima suntikan vaksin lengkap, mereka mungkin tidak lagi perlu dikuarantin.
"Kami akan meneliti negara dalam senarai dan membenarkan mereka kembali tanpa dikuarantin," katanya.
Pengumuman polisi baharu ini dibuat ketika industri penerbangan desak kerajaan kurangkan sekatan bagi perjalanan antarabangsa, yang melumpuhkan industri berkenaan.
Sehingga kini hampir 61 peratus populasi dewasa di UK sudah lengkap dua dos vaksin.
Sementara 83 peratus pula terima satu dos vaksin.
Britain turut umum penambahan 17 negara dan wilayah dalam senarai hijau selamat untuk perjalanan.
Individu yang melakukan perjalanan ke destinasi terlibat tidak perlu jalani proses kuarantin selepas kembali ke UK.
Ini melibatkan beberapa wilayahnya termasuk British Virgin Islands, Cayman Islands dan Barbados.