#BringDevBack: Rakyat Yaman lancar kempen, gesa bangunkan negara semula
Agensi
Mac 5, 2018 12:31 MYT
Mac 5, 2018 12:31 MYT
“Pembangunan itu satu harapan. Negara tanpa pembangunan adalah kosong.”
Inilah motivasi rakyat Yaman bagi membangunkan negara melalui kempen 'Bring Development Back' di media sosial, di sebalik krisis peperangan yang masih belum berhenti,
Konflik yang berlanjutan sejak beberapa tahun lepas bukan sahaja menyebabkan banyak nyawa terkorban, malah pembangunan di negara itu turut terbantut.
Kempen ini menunjukkan, masih wujud sinar harapan dalam kalangan rakyat Yaman untuk bangkit dan menjalani hidup yang lebih baik di negara mereka.
Menurut Wesam Qaid, Pengarah Eksekutif SMEPS, sebuah agensi pembangunan ekonomi di Sanaa, Yaman, kempen ini bertujuan membawa rakyatnya ke arah masa depan yang lebih baik.
“Saya sangat bangga kerana terlibat dengan kempen #BringDevBack di Yaman, kerana ia membawa mesej yang penting. Ia bermaksud peperangan perlu dihentikan, bercakap tentang hal masa depan.
"Ini adalah satu harapan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia. Secara ringkasnya, kempen ini ingin membawa negara ke arah landasan yang sepatutnya,” kata beliau.
Kempen ini turut memberi mesej kepada dunia, bantuan kemanusiaan adalah tidak cukup dan mereka perlukan pelaburan yang besar untuk membangunkan semula negara.
Salah seorang aktivis SMEPS, Farah al- Wazeer menjelaskan: "Kita perlukan pembangunan untuk pendidikan yang lebih baik, serta mempunyai bekalan makanan dan air yang sihat dan selamat.
"Kita juga perlukan peluang pekerjaan yang lebih banyak dan memelihara hak dan keamanan."
Kempen ini kian aktif di media sosial, terutama sekali rakyat Yaman yang inginkan perubahan dilakukan di negara mereka.
Kebanyakan rakyat memberikan pendapat, peluang pekerjaan, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan merupakan elemen yang perlu diambil perhatian untuk membangunkan negara semula.
#BringDevBack
#harapan
#kesihatan
#krisis
#makanan
#peluang pekerjaan
#pembangunan
#pendidilkan
#peperangan
#Senna
#Yaman