BRICS perkukuh kerjasama perbankan, kurangkan penggunaan dolar Amerika
Luqman Hariz
Oktober 24, 2024 07:40 MYT
Oktober 24, 2024 07:40 MYT
KAZAN: Negara-negara anggota BRICS akan mengukuhkan kerjasama dengan satu sama lain dalam sektor perbankan.
Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, anggota blok itu juga akan meningkatkan pembayaran menggunakan mata wang tempatan masing-masing.
“Negara-negara BRICS komited untuk memperkukuhkan kerjasama kami dalam sektor kewangan.
“Kami akan terus menyelaraskan komunikasi antara bank dan mewujudkan mekanisme untuk pembayaran menggunakan mata wang negara masing-masing, yang terlindung daripada risiko luaran,” tegas beliau.
Rombakan sistem kewangan serta pengurangan penggunaan dolar Amerika menjadi antara fokus utama perbincangan kumpulan itu di sidang kemuncaknya sepanjang tiga hari di sini, tahun ini.
Kata Putin, negara BRICS dan selatan global perlu mengambil langkah proaktif dalam mewujudkan sistem kewangan baharu yang lebih adil dan inklusif.
“Amat penting untuk kita membina (sistem) alternatif, boleh dipercayai dan bebas daripada sebarang pengaruh.
“Ini termasuk mekanisme kewangan multilateral, rantaian pengeluaran dan logistik, pertukaran teknologi dan pengetahuan peringkat tinggi, serta pembangunan koridor pengangkutan antarabangsa baharu,” ujarnya.
Sebagai contoh, kata beliau, Rusia dan negara-negara rakannya kini sedang membangunkan koridor pengangkutan baharu termasuk di Laut Utara.
Koridor pengangkutan Laut Utara adalah laluan perkapalan sepanjang kira-kira 5,600 kilometer dan merupakan laluan perdagangan laut terpendek antara Eurasia dan Asia Pasifik.
BRICS ditubuhkan oleh Brazil, Rusia, India dan China pada 2009, berlandaskan kepada matlamat pengukuhan kerjasama ekonomi.
Blok itu disertai Afrika Selatan pada 2010, serta Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu pada 2024.