BRICS mahu bina sistem kewangan baharu, bebas pengaruh Barat

Luqman Hariz
Oktober 24, 2024 17:50 MYT
Putin berkata, sistem tersebut disasar akan meningkatkan aliran pelaburan ke dalam negara anggota, Selatan Global dan Timur, serta bebas daripada cengkaman pengaruh Barat.- Gambar/ BRICS/ Stanislav Krasilnikov
KAZAN (Rusia): BRICS berhasrat membina sistem kewangan baharu yang berupaya merealisasikan potensi penuh negara-negara membangun.
Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, sistem tersebut disasar akan meningkatkan aliran pelaburan ke dalam negara anggota, Selatan Global dan Timur, serta bebas daripada cengkaman pengaruh Barat.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di sesi plenari sempena hari terakhir Sidang Kemuncak BRICS Plus di sini.
“Amat penting untuk kita membina (sistem) alternatif, boleh dipercayai dan bebas dari sebarang pengaruh.
“Ini termasuk mekanisme kewangan multilateral, rantaian pengeluaran dan logistik, pertukaran teknologi dan pengetahuan peringkat tinggi, serta pembangunan koridor pengangkutan antarabangsa baharu,” katanya.
Putin berkata, Rusia dan negara-negara rakannya kini sedang membangunkan koridor pengangkutan baharu, termasuk di Laut Utara.
Koridor pengangkutan Laut Utara adalah laluan perkapalan sepanjang kira-kira 5,600 kilometer, dan merupakan laluan perdagangan laut terpendek antara Eurasia dan Asia Pasifik.
Sidang Kemuncak BRICS yang berlangsung selama tiga hari di Kazan, Rusia mengumpulkan sembilan anggotanya bersama beberapa negara pemerhati termasuk Malaysia, yang menyertai sidang tersebut buat pertama kali atas jemputan Putin.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk penambahbaikan tadbir urus global, konflik di Asia Barat serta pembangunan mampan.
#BRICS #Vladimir Putin #Malaysia #sistem kewangan baharu
;