Brexit yang bercelaru, satu bencana - Juncker
Astro Awani
Disember 20, 2018 09:40 MYT
Disember 20, 2018 09:40 MYT
Presiden Suruhanjaya Eropah Jean Claude Juncker menyifatkan pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah (EU) atau langkah Brexit, tanpa perjanjian rasmi, sebagai satu bencana.
Justeru, Juncker pada Rabu menegaskan, pihaknya sedaya upaya mahu supaya senario berkenaan dapat dielakkan.
"Risiko Britain keluar dari EU dalam keadaan bercelaru sangat jelas. Ia akan jadi satu bencana yang nyata. Sebab itulah Suruhanjaya Eropah dan anggota EU berusaha menghalang ia dari berlaku.
"Tetapi, ia memerlukan kerjasama kedua-dua belah pihak," katanya.
Britain dijadual meninggalkan EU secara rasmi pada 29 Mac. Namun, status perjanjian Brexit belum pasti kerana sesi pengundian yang dijadual pada 11 Disember lalu telah ditangguh ke Januari depan.
Sehingga kini, perjanjian berkenaan disifatkan menerima tentangan daripada Ahli Parlimen Britain.
Perceraian Britain dari EU tanpa perjanjian hanya akan meletakkan ekonominya dalam keadaan ketidaktentuan. Masalah juga dibimbangi timbul di sempadan.
Terdahulu pada Rabu, EU menyediakan pelan kontingensi untuk pengunduran Britain secara "no-deal" (tanpa perjanjian) dari kesatuan itu.
Naib Presiden suruhanjaya itu, Valdis Dombrovskis, berkata langkah itu bagi mengekang kesan buruk yang bakal dialami.