Brexit: Theresa May berdepan tamparan kali ketiga

Agensi
Mac 29, 2019 23:33 MYT
Apakah langkah seterusnya bagi Theresa May?
Perdana Menteri Britain Theresa May berdepan tamparan sekali lagi apabila perancangan Brexit yang diperjuangkannya gagal apabila undian anggota Parlimen mencatatkan 58 majoriti tidak bersetuju.
Pada hari yang sepatutnya United Kingdom meninggalkan Kesatuan Eropah (EU), anggota Parlimen menafikan percubaan May untuk mencapai sokongan ke arah perjanjian itu apabila menerima 344 undi yang menolak berbanding 286 undi menyokong.
Ini bermakna, kerajaan memerintah perlu melakukan sesuatu pada saat akhir sekiranya mahu mengubah keputusan tersebut.
“Hari ini sepatutnya menjadi hari United Kingdom meninggalkan EU.
“Hakikat kita tidak melakukannya hari ini adalah sesuatu yang menyebabkan saya berasa kesal yang mendalam,” ujar May.
Dalam situasi yang membawa kepada bayangan akan berlakunya pilihan raya umum, May menyatakan bahawa sebarang usaha Parlimen pada masa ini ‘sudah sampai hadnya’.
Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk berkata, beliau kini menyarankan sidang tergempar majlis itu pada 10 April nanti.
Dalam usaha terakhir May untuk memujuk pihak parti Tory supaya undi berpihak kepadanya, May telah berjanji untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri jika Dewan Rakyat menyokongnya.
Tawaran untuk memberi laluan kepada pemimpin parti dan perdana menteri baharu untuk mengetuai fasa lanjutan rundingan dengan EU, telah membuatkan beberapa pihak mengikutinya, namun tidak cukup untuk mengatasi jumlah tentangan terhadap perjanjian itu.
BACA: Demi Brexit, Theresa May janji letak jawatan!
#Brexit #parlimen britain #Perdana Menteri Britain #pilihan raya umum #Theresa May #undi #Usul tidak percaya
;