Brexit: Rundingan berada pada 'saat genting' - Ketua Perunding EU

Astro Awani
Disember 22, 2020 07:26 MYT
Michel Barnier dijadual memberikan taklimat kepada penggubal undang-undang EU, pada lewat Selasa. - REUTERS
RUNDINGAN Brexit berada pada 'saat genting' dan kedua belah pihak EU dan UK sedang melakukan usaha terbaik yang terakhir.
Demikian jelas Ketua Perunding Brexit EU, Michel Barnier, pada Selasa.
Pemimpin dan perunding dari EU dan Britain kini terus menggandakan usaha mereka untuk mencapai perjanjian perdagangan selepas Brexit.
Rundingan selama sembilan bulan menemui halangan dan kebuntuan mengenai bagaimana mahu meneruskan perdagangan dengan sekatan dan tarif seminimum mungkin selepas Britain meninggalkan EU pada 31 Januari dan tempoh peralihan akan berakhir tahun ini.
"Hanya secara ringkas. Kami benar-benar berada dalam saat yang genting dan kami memberikannya usaha terakhir.
“Dalam 10 hari UK akan meninggalkan pasaran tunggal dan saya akan terus bekerja secara telus dengan negara-negara anggota sekarang dan dengan Parlimen," katanya.
Sejak kebelakangan ini, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dan Presiden Suruhanjaya EU, Ursula Von Der Leyen semakin kerap terlibat dalam perbincangan bagi mengatasi perbezaan besar mengenai hak menangkap ikan EU di perairan UK.
Sehingga 1 Januari, hak tersebut dikongsikan bersama semua negara EU namun dengan Brexit, UK ingin kembali menguasai beberapa perairannya.
Ketika ini, kedua belah pihak sedang tawar-menawar dan berusaha mempertahankan kuota penangkapan ikan.
Sekiranya Britain berkeras enggan berkongsi perairan menangkap ikan, negara itu mungkin akan dihukum melalui tarif eksport makanan laut yang berat serta tindakan lain.
Pegawai terlibat dalam rundingan menyatakan bahawa EU hanya boleh menampung pengurangan kuota sehingga 25 peratus namun Britain dikatakan mahu lebih daripada itu.
Mereka juga gagal mencapai kata sepakat mengenai tempoh peralihan dengan Johnson mahukan hanya tiga tahun namun EU mahukan tujuh tahun.
Michel Barnier dijadual memberikan taklimat kepada penggubal undang-undang EU, pada lewat Selasa.
Badan perundangan EU menyatakan tempoh masa yang singkat menyebabkan kesukaran untuk mencapai perjanjian dan kini mereka sedang melihat faktor perundangan sama ada perjanjian boleh dicapai pada 1 Januari.
Johnson sebelum ini menegaskan tidak penting sama ada perjanjian dicapai atau tidak kerana Britain akan tetap makmur dan kuat.
#EU #Brexit #Britain #Boris Johnson #Michel Barnier #Ketua Perunding Brexit EU #Ursula von der Leyen
;