Brazil, AS, Indonesia, Jerman dan Jepun adalah pasaran kopi paling berpotensi
Bernama
November 8, 2018 06:02 MYT
November 8, 2018 06:02 MYT
Brazil, Amerika Syarikat (AS), Indonesia, Jerman dan Jepun mempunyai potensi terbesar bagi pasaran kopi, demikian menurut kajian terbaru oleh Euromonitor International.
Kajian itu - "Lima Pasaran Paling Berpotensi Bagi Kopi" - mengenal pasti peluang dalam pasaran kopi yang belum diteroka sepenuhnya dan matang. Penyelidikan itu memberikan pandangan global mengenai pasaran kopi dan mengenal pasti potensi lima negara berkenaan untuk pasaran.
Brazil telah menjadi pasaran kopi terbesar di dunia, yang mewakili 15 peratus jualan kopi global dalam jumlah dagangan selepas mengatasi AS pada 2014. Negara ini menunjukkan pertumbuhan yang mantap semasa kemelesetan ekonomi dengan mencatat kadar pertumbuhan melepasi purata global.
Walaupun kopi kisar segar masih mendominasi pasaran, masa depan kopi di Brazil bergantung kepada jenis kopi baru seperti biji dan lenggai, kata syarikat penyelidikan pasaran global tersebut dalam satu kenyataan.
Amerika Syarikat menawarkan pasaran kopi matang dengan kadar pertumbuhan di bawah purata global dalam jumlah dagangan. Masa depan kopi AS bergantung pada penawaran premium dan kemudahan, sementara kedai kopi dan kedai khusus adalah pemacu utama untuk pasaran.
Kopi di Indonesia telah mencapai jumlah jualan sebanyak 735,000 tan metrik pada 2018. Ia menjadi semakin relevan kepada pengguna yang berusaha untuk menghasilkan semula di rumah pengalaman perkhidmatan makanan yang menyaksikan permintaan yang lebih tinggi untuk campuran kopi segera.
Kajian itu menunjukkan penggunaan kopi di Jerman betul-betul seimbang, menawarkan peluang untuk inovasi dan jenama baru. Kelestarian dan kebolehkesanan adalah faktor penting dalam keputusan pembelian ketika pengguna menunjukkan minat dalam keseluruhan pengeluaran kopi dan mempunyai penggunaan yang bertanggungjawab.
Sementara itu di Jepun, penggunaan kopi dijangka dua kali lebih besar daripada penggunaan teh menjelang 2022. Biji kopi adalah format yang paling menonjol, mewakili 32 peratus daripada jumlah jualan pada 2018. Jualan lenggai kopi kisar segar juga dijangka merosot berikutan ruang terhad isi rumah di kawasan bandar di Jepun
Maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh di https://www.euromonitor.com
-- BERNAMA