Brad Pitt tampil di Grand Prix Britain dengan sut lumba
Bernama
Julai 10, 2023 16:55 MYT
Julai 10, 2023 16:55 MYT
SILVERSTONE (England): Pelakon Brad Pitt mengejutkan dunia sukan permotoran apabila dirakam memakai sut lengkap pelumba di Litar Silverstone pada Ahad menjelang Grand Prix Britain, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Bintang Hollywood dan seorang lagi pelakon filem itu, Damson Idris mengenakan sut perlumbaan putih dan hitam untuk mewakili pasukan fiksyen APXGP ketika mereka beramah mesra dengan pemandu F1 sebenar di grid litar di Northamptonshire untuk penggambaran filem dokumentari terbaharunya Formula 1 yang akan datang.
Juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton bertindak sebagai penerbit bersama filem Apple yang belum diberikan tajuk dan dihasilkan dengan kerjasama F1, menyediakan projek itu akses khas kepada trek perlumbaan dan pemandu.
Selepas turun ke trek di Silverstone, Pitt bercakap dengan penyampai Sky Sports dan bekas pemandu F1 Martin Brundle tentang pengalaman itu.
Pelakon berusia 59 tahun itu berkata: "Saya agak pening sekarang, saya perlu katakan."
"Agak baik berada di sini. Kami hanya bergelak ketawa, masa hidup saya."
Mengulas lanjut mengenai filem terbaharunya dalam temu bual itu, Pitt menjelaskan bahawa wataknya adalah pemandu F1 pada 1990-an tetapi berpindah ke perlumbaan dalam disiplin lain selepas terbabit nahas mengerikan.
Pitt berkata filem itu "sepatutnya tulen seperti yang kita boleh bayangkan" kerana mereka telah menggunakan khimat pakar F1 yang telah "mengendalikan perlumbaan seperti yang sebenar".
Pitt menunjukkan kemahirannya berlumba dengan jentera Formula Dua selama dua bulan - pertama di Litar Paul Ricard di Perancis dan kemudian di Silverstone.
Pengarah 'Top Gun: Maverick' Joseph Kosinski akan mengarahkan filem itu dan Hamilton akan menerbitkannya bersama Plan B Entertainment dan Jerry Bruckheimer Films.
-- BERNAMA