Botswana pertimbang tarik balik larangan buru gajah

Agensi
Februari 23, 2019 20:49 MYT
Botswana yang sebesar Perancis dan banyak hamparan tanah luas, mempunyai populasi penduduk sebanyak 2.3 juta orang dan menjadi tumpuan pelancong untuk menikmati pemandangan habitat hidupan liar. - Reuters
Botswana yang merupakan kediaman bagi satu per tiga daripada jumlah gajah Afrika, sedang mempertimbang untuk menarik balik pengharaman pemburuan haiwan liar itu.
Reuters melaporkan, ia sebagai salah satu usaha pihak kerajaan untuk menangani konflik antara manusia dan hidupan liar.
Ahli konservasi menganggarkan Botswana mempunyai sekitar 130,000 gajah, namun beberapa penggubal undang-undang mengatakan jumlahnya lebih tinggi hingga menyebabkan masalah kepada peladang-peladang berskala kecil.
Sebuah jawatankuasa yang dilantik Presiden Mokgweetsi Masisi untuk menilai semula larangan memburu tahun 2014 sudahpun menghantar laporan kepada Masisi pada Khamis lalu.
“Kami mencadangkan satu rangka kerja undang-undang yang membolehkan pertumbuhan industri pemburuan safari dan pengurusan populasi gajah dalam kaedah yang bersesuaian,” ujar pengerusi jawatankuasa itu, Frans Van Der Westhuizen.
Van Der Westhuizen sendiri melontarkan cadangan supaya pemburuan gajah ‘secara berkala namun terhad’ diperbolehkan.
Masisi membentuk jawatankuasa itu pada Jun 2018 untuk menilai semula larangan yang dikuatkuasakan oleh bekas presiden Ian Khama, selepas populasi hidupan liar di utara negara itu menyusut.
Botswana yang sebesar Perancis dan banyak hamparan tanah luas, mempunyai populasi penduduk sebanyak 2.3 juta orang dan menjadi tumpuan pelancong untuk menikmati pemandangan habitat hidupan liar.
Masisi berkata, laporan itu nanti akan dibentangkan di Kabinet sebelum membuat keputusan.
BACA: Zambia teruskan pelan kontroversi bunuh 2,000 ekor badak air. Ini sebabnya...
#Botswana #gajah #gajah afrika #haiwan liar #hidupan liar #pemburuan #populasi
;