Bot terbalik, lima kanak-kanak lemas di barat Kenya
Bernama
Oktober 29, 2023 21:33 MYT
Oktober 29, 2023 21:33 MYT
ELDORET (Kenya): Seramai lima kanak-kanak maut selepas bot dinaiki mereka di sebuah taman hiburan popular terbalik pada Sabtu di Daerah Uasin Gishu, barat Kenya, lapor Xinhua.
Polis dalam satu laporan keselamatan berkata murid-murid dari Sekolah Rendah Arap Moi dan guru-guru mereka ke taman itu untuk menaiki bot di sebuah empangan buatan.
Bot itu kemudiannya terbalik kira-kira pukul 5 petang.
"Lima murid meninggal dunia akibat lemas manakala seorang lagi murid terselamat dan dikejarkan ke hospital," kata laporan itu.
Sementara itu, ibu bapa yang berang menyerbu sekolah berkenaan untuk mengetahui keadaan anak mereka.
Setiausaha Kabinet Pendidikan Yehezkiel Machogu pada Ahad meminta agar sekolah terlibat, ibu bapa dan masyarakat agar bertenang dan bersabar sementara siasatan dijalankan.
Machogu berkata, beliau sedang bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan untuk memastikan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu.
-- BERNAMA