Bot terbalik langgar ikan paus, lima maut
Astro Awani
September 10, 2022 07:15 MYT
September 10, 2022 07:15 MYT
LIMA individu terkorban selepas sebuah bot terbalik di perairan South Island di New Zealand pada Sabtu.
Siasatan awal mendapati, bot berkenaan terbalik selepas berlanggar dengan seekor ikan paus.
Menurut Datuk Bandar Kaikoura, Craig Mackle, bot yang membawa 11 penumpang itu terbalik di perairan Goose Bay, kira-kira 15 kilometer selatan Kaikoura.
"Ini merupakan satu insiden yang amat sedih terutama kepada ahli keluarga mangsa," katanya.
Operasi menyelamat yang mengambil masa hampir tujuh jam ditamatkan apabila skuad penyelam polis menemui lima mayat dari dalam bot tersebut.
Enam individu yang diselamatkan alami kecederaan ringan.
Laporan media menyebut tekong bot itu antara yang terselamat.
Bagaimanapun, pihak polis tidak mengulas mengenai kemungkinan bot itu terlanggar seekor ikan paus kerana ia masih dalam siasatan.
Sarjan Polis Kaikoura, Matt Boyce pada satu sidang media berkata, ia peristiwa yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Mackle turut bingung bagaimana bot itu terbalik dalam keadaan sempurna, walaupun mengesahkan ketika ini musim ikan paus berleluasa di luar pantai Kaikoura.
Terdahulu tular di media sosial foto menunjukkan mangsa yang terselamat melambai-lambai meminta bantuan pada lambung bot sepanjang 8.5 meter yang terbalik itu.
Polis kemudian sahkan ia milik perniagaan sewa tempatan.
Kaikoura merupakan kawasan tarikan pelancong yang popular kerana hidupan liarnya yang banyak selain menawarkan pengalaman menonton ikan paus secara langsung.