Bot persiaran karam di Budapest, tujuh maut, 19 lagi hilang

Agensi
Mei 30, 2019 11:01 MYT
Menteri Luar Korea Selatan berkata, seramai 33 warganya berada dalam bot persiaran terbabit dan tujuh disahkan maut. - Foto AP
Sekurang-kurangnya tujuh warga Korea Selatan disahkan maut sementara 19 yang lain dilaporkan hilang apabila sebuah bot persiaran karam di Sungai Danube, Budapest, kata pihak berkuasa Hungary dan Korea Selatan.
Menurut media tempatan, bot yang dinaiki mangsa berlanggar dengan sebuah bot lain pada kira-kira jam 10 malam (waktu tempatan) semalam, insiden berlaku berhampiran bangunan Parlimen yang terletak di tengah ibu kota Hungary.
Menteri Luar Korea Selatan berkata, seramai 33 warganya berada dalam bot persiaran terbabit dan tujuh disahkan maut. Bot tersebut turut membawa dua anak kapal warga Hungary.
"Pada ketika ini, tujuh mangsa telah dibawa ke hospital dalam keadaan stabil manakala tujuh kematian direkodkan setakat ini," kata jurucakap pasukan kecemasan Hungary, Pal Gyorfi.
Gyorfi menambah, operasi mencari mangsa yang hilang dilakukan sepanjang malam dengan bantuan penyelam.
Namun hujan lebat sejak permulaan Mei lalu menyebabkan paras air naik sekali gus menyukarkan operasi menyelamat.
Laporan media tempatan mengatakan, bot tersebut ditemukan beberapa jam selepas pencarian di sepanjang Jambatan Marguerite yang menghubungkan bandar lama Buda dengan daerah Pest.
Ekoran insiden terbabit pihak berkuasa kini menutup laluan ke lokasi nahas.
Presiden Moon Jae-in dilaporkan mengerah segala sumber yang diperlukan bagi membantu melancarkan operasi menyelamat, petugas kedutaan Korea Selatan turut bekerjasama dengan pasukan kecemasan.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Hungary, Ildiko Horvath yang melawat lokasi insiden menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. - Sumber Agensi
#bot karam #bot persiaran #Budapest #Danube #Korea Selatan #mangsa #mayat #pelancong
;