Bot karam di Nigeria, angka kematian cecah 76
Bernama
Oktober 10, 2022 12:20 MYT
Oktober 10, 2022 12:20 MYT
ABUJA: Jumlah kematian akibat kejadian bot karam di selatan Anambra pada Jumaat terus meningkat kepada 76 orang, kata Presiden Nigeria Muhammadu Buhari dalam satu kenyataan pada Ahad.
Agensi penyelamat mendedahkan bahawa sebuah bot dinaiki 85 orang penumpang terbalik di kawasan Ogbaru, Anambra pada Jumaat susulan kejadian banjir di kawasan terbabit, menurut kenyataan itu.
Buhari turut menzahirkan rasa dukacita atas insiden itu.
Siasatan telah dilancarkan untuk menentukan "punca kejadian" selain banjir, kata penyelaras zon tenggara Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA), Thickman Tanimu.
Berikutan tragedi itu, Pihak Berkuasa Laluan Air Dalam Negeri dan NEMA memulakan misi menyelamat dan pemulihan di Anambra.
Buhari turut mengarahkan agensi penyelamat menyalurkan bantuan dan menggesa agensi kerajaan yang berkaitan menyemak protokol keselamatan di feri pengangkutan tempatan demi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang lagi.
-- BERNAMA