Bot karam: 8 lagi mayat ditemui, angka korban kini 41
Bernama
Julai 7, 2018 22:43 MYT
Julai 7, 2018 22:43 MYT
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui lapan lagi mayat mangsa bot karam di perairan Phuket hari ini, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 41 orang sementara 15 penumpang masih hilang dalam tragedi dua hari lalu.
Gabenor Phuket, Noraphat Piodthong, dalam sesi taklimat mengenai operasi SAR di Phuket, berkata lima mayat mangsa ditemukan pada sebelah pagi dan tiga lagi pada sebelah tengah hari di perairan berkenaan.
Bot 'Phoenix Diving' membawa 105 penumpang termasuk 93 pelancong, seorang pemandu pelancong dan 11 kru karam apabila ia dibadai ombak tinggi dan angin kencang dalam insiden yang berlaku pada jam 5.45 petang (waktu tempatan), Khamis lalu.
Ketika kejadian, kapal layar tersebut dalam pelayaran balik dari bersiar-siar di Pulau Koh Racha.
Sementara itu, Timbalan Komander Tentera Laut Diraja Thailand (RTN), Laksamana Muda Charoenpol Kumrasri memberi jaminan kepada waris mangsa bahawa tiada lagi mayat di dalam kapal berkenaan selepas pemeriksaan dilakukan oleh sekumpulan penyelam hari ini.
Bagaimanapun, katanya, operasi SAR termasuk tinjauan dari udara akan diperluaskan termasuk perairan di Pulau Phi Phi dan Krabi. -- Bernama