Bot bawa PATI karam di Yaman, 49 maut, 140 hilang
Astro Awani
Jun 11, 2024 06:40 MYT
Jun 11, 2024 06:40 MYT
KAHERAH: Sekurang-kurangnya 49 orang maut dan 140 hilang selepas sebuah bot membawa lebih 200 penumpang pendatang asing tanpa izin (PATI) karam di perairan Yaman.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kebanyakan yang maut dalam tragedi itu ialah wanita dan kanak-kanak.
Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) berkata, selain 49 mangsa yang meninggal dunia, sebanyak 140 orang lagi hilang selepas sebuah bot yang membawa 260 orang terbalik di wilayah selatan Shabwah, semalam.
Daripada 260 penumpang bot berkenaan, 145 merupakan warga Ethiopia dan 150 dari Somalia, yang telah berangkat dari pantai utara Somalia untuk mengembara sejauh 320km (200 batu) merentasi Teluk Aden untuk sampai ke Yaman.
"Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan walaupun menghadapi cabaran besar berikutan kekurangan bot peronda yang beroperasi," kata IOM.
"Bot itu berlepas dari Bossaso di Somalia kira-kira jam 3 pagi pada Ahad ketika peningkatan kedatangan PATI baru-baru ini dari Timur Laut Afrika menuju ke Yaman," menurut agensi PBB.
Setiap tahun, puluhan ribu pendatang dari Timur Laut Afrika bertolak merentasi Laut Merah dalam usaha untuk sampai ke negara Teluk yang kaya dengan minyak, melarikan diri dari konflik, bencana alam atau prospek ekonomi yang lemah.
Pada 2023 sahaja, IOM mendapati lebih 97,200 ketibaan PATI di Yaman, katanya.
Pada April lalu, hanya selang dua minggu, terdapat dua bot karam di luar pantai Djibouti menyebabkan sekurang-kurangnya 62 maut, menurut agensi PBB.
IOM pada Selasa berkata, pihaknya merekodkan sebanyak 1,860 kematian dan kehilangan migran di sepanjang laluan penghijrahan sejak 2014, termasuk 480 akibat lemas.
"Tragedi terbaru adalah peringatan mengenai keperluan segera untuk bekerjasama bagi menangani cabaran penghijrahan yang mendesak dan memastikan keselamatan pendatang di sepanjang laluan penghijrahan," kata jurucakap agensi, Mohammedali Abunajela.
IOM berkata bulan lalu, walaupun terdapat bahaya dalam laluan penghijrahan, bilangan pendatang yang tiba di Yaman meningkat tiga kali ganda dari 2021 hingga 2023, melonjak daripada kira-kira 27,000 kepada lebih 90,000.