Bot bawa 40 PATI karam di perairan Florida, 39 hilang
Astro Awani
Januari 25, 2022 07:48 MYT
Januari 25, 2022 07:48 MYT
FLORIDA: Operasi mencari dan menyelamat digerakkan bagi mengesan 39 individu dalam insiden bot pendatang asing tanpa izin yang karam di perairan Florida, Amerika Syarikat pada Selasa.
Seorang mangsa yang ditemui selamat berkata, bot berkenaan berlepas dari Pulau Bimini di Bahamas bersama 40 penumpang pada Sabtu malam, kata Pengawal Pantai AS dalam satu kenyataan.
Menurut mangsa, bot berkenaan karam selepas dipukul ombak kira-kira 72.4 km barat Fort Pierce Inlet, di persisir pantai Florida.
Kesemua mangsa tidak memakai jaket keselamatan.
Mangsa ditemui selamat oleh orang ramai di atas bot yang terbalik pada pagi Selasa.
"Kejadian ini dipercayai usaha menyeludup manusia ke Amerika Syarikat.
"Kami masih jalankan siasatan serta mengenal pasti kewarganegaraan kesemua mangsa," kata kenyataan itu.
Bot dengan pendatang asing tanpa izin yang ingin memasuki amerika syarikat melalui Florida, kebanyakannya dari Haiti atau Cuba, sering dipenuhkan sehingga sesak.
Setakat ini Pengawal Pantai berjaya mengesan 127 pelarian dari Cuba yang cuba memasuki negara itu sejak Oktober 2021, tambahan daripada 7,400 pelarian yang dikesan sejak lima tahun lepas.