Bot bawa 200 pendatang tanpa izin hilang di perairan Canary
Agensi
Julai 10, 2023 20:56 MYT
Julai 10, 2023 20:56 MYT
MADRID: Pasukan Penyelamat Sepanyol dilaporkan dalam usaha mencari bot membawa sekurang-kurangnya 200 pendatang Afrika yang hilang lebih seminggu lalu di perairan Kepulauan Canary.
Memetik BBC, pasukan bantuan Walking Borders berkata, bot nelayan itu belayar dari Kafountine, sebuah bandar pantai di selatan Senegal kira-kira 1,700 km (1,057 batu) dari Tenerife.
Dalam pada itu, agensi berita Efe Sepanyol memaklumkan ramai kanak-kanak berada di atas bot berkenaan manakala dua bot serupa membawa puluhan orang juga dilaporkan hilang.
Perkhidmatan penyelamat maritim Sepanyol memberitahu Efe, sebuah pesawat turut menyertai operasi pencarian bot dari Kafountine menuju ke Kepulauan Canary pada 27 Jun lalu.
Agensi Reuters memetik Helena Maleno dari Walking Borders memaklumkan bahawa satu bot memuatkan kira-kira 65 orang, manakala yang lain sekitar 60 orang dan jumlah keseluruhan penumpang yang hilang di tiga bot berkemungkinan melebihi 300 orang.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Sepanyol, sebanyak 15,682 orang tiba di Kepulauan Canary tanpa izin pada tahun 2022 dan mencatatkan penurunan lebih 30 peratus berbanding 2021.