Bot bawa 130 migran terbalik di perairan Libya, 10 mayat ditemukan

Agensi
April 23, 2021 13:08 MYT
Kapal milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ocean Viking, dan sebuah kapal komersial lain turut terlibat dalam misi pencarian mangsa. - Reuters
LIBYA: Sekurang-kurangnya 10 anak kapal mati manakala 120 lagi dikhuatiri hilang selepas sebuah bot getah terbalik di pesisir pantai Libya, semalam.
Portal berita The Guardian melaporkan, setakat ini, 10 mayat ditemukan di lokasi sebuah bot getah yang membawa 130 migran itu.
Kumpulan kemanusiaan Eropah, SOS Mediterranee memberitahu, pasukannya menerima panggilan amaran memaklumkan ada tiga bot yang menghadapi masalah di luar pesisir pantai Libya.
Ketika kapal milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ocean Viking, dan sebuah kapal komersial menuju ke lokasi terbabit, ombak setinggi enam meter membadai.
Penyelaras pasukan mencari dan menyelamat Ocean Viking, Luisa Albera berkata, selain 10 mayat, pasukan itu setakat ini belum menemui mayat lain di lokasi kejadian.
"Kelmarin, kita menghabiskan sehari suntuk untuk mencari sebuah bot kayu membawa 40 migran yang menghantar isyarat kecemasan dan nasib mereka tidak diketahui sehingga kini.
"Kami sedih dengan kejadian ini dan kami tidak mempunyai sebarang perkembangan untuk dimaklumkan kepada keluarga mangsa," katanya di sini, pada Khamis.
Difahamkan, harapan untuk menemui mangsa yang terselamat adalah tipis dan berkemungkinan pasukan mencari dan menyelamat akan menemui lebih banyak mayat.
Minggu lalu, Suruhanjaya Tinggi bagi Pelarian, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan Pertubuhan Antarabangsa Migran (IOM) berkata sekurang-kurangnya 41 mangsa termasuk seorang kanak-kanak maut selepas bot membawa migran dari Afrika itu tenggelam di perairan Tunisia.
Menurut IOM, lebih 450 migran maut di Laut Mediterranean tahun ini dalam usaha untuk sampai ke Eropah dari Tunisia atau Libya
#Libya #kapal terbalik #persisiran Libya #mencari dan menyelamat #Ociean Viking #NGO
;